Rakyat Terengganu usah terpengaruh Pusat tidak buat apa-apa untuk pembangunan – PMX

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
12 JULAI 2025

Rakyat Terengganu diminta agar tidak terus terpengaruh dengan dakwaan tidak berasas, kononnya Kerajaan Persekutuan tidak melakukan apa-apa pembangunan untuk kesejahteraan mereka.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hakikatnya sebanyak 445 program dan projek dengan peruntukan mencecah RM1.836 bilion telah diluluskan di Terengganu.

Beliau berkata, ia melibatkan Program/Projek Pembangunan Rancangan Boleh Pinda Kelima (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

SEBANYAK RM239 JUTA

Jelas Perdana Menteri, sebenarnya terdapat peningkatan sebanyak RM239 juta berbanding tahun lepas.

“Ini jelas membuktikan komitmen kerajaan Pusat dalam memastikan pembangunan dan kesejahteraan rakyat Terengganu terus diperkasa,” katanya dalam hantaran di FB.

Terdahulu beliau berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Terengganu, di pekarangan Pasar Kedai Payang, di sini hari ini (12 Julai).

PROGRAM TUISYEN MADANI

Perdana Menteri berkata, Terengganu juga dipilih sebagai negeri pertama di bawah Program Tuisyen MADANI yang menerima peruntukan sebanyak RM5.27 juta.

Beliau berkata program ini akan melibatkan seramai 9,408 orang pelajar dengan kerjasama bantuan pengajar daripada guru-guru sekolah seramai 614 orang guru.

“Saya percaya, inisiatif ini dapat membantu pelajar yang kurang berkemampuan agar tidak tercicir dalam pelajaran, mengurangkan jurang pendidikan, meningkatkan prestasi akademik selain satu pelaburan dalam pendidikan anak-anak untuk masa depan negara yang lebih sejahtera dan beretika,” kata beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *