





Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
12 JULAI 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluncurkan projek solar terapung hidro hibrid dan hab hidrogen hijau di Stesen Janakuasa Sultan Mahmud, Kenyir semasa dalam lawatan rasmi ke Terengganu.
Beliau berkata projek ini merupakan kolaborasi strategik Tenaga Nasional Berhad (TNB), Petronas dan Terengganu Inc, dengan sasaran untuk menjadikan Semenanjung Malaysia sebagai hab hidrogen hijau seperti yang digariskan di bawah Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR).
“Projek berskala besar ini juga adalah sebagai satu daripada projek utama yang dikenal pasti di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR),” kata beliau dalam hantaran di FB.
SIAP PADA 2029
Apabila siap pada 2029 kelak Anwar berkata, projek ini akan membantu menghasilkan 2.5 juta tan hidrogen hijau menjelang tahun 2050, selaras seperti yang dihasratkan di dalam NETR.
“Saya menyambut baik komitmen Kerajaan Negeri Terengganu dalam membantu melaksana projek ini, membuktikan ikhtiar kerajaan MADANI untuk mengangkat agenda kebajikan rakyat yang melangkaui jalur politik,” kata beliau.
Perdana Menteri percaya agenda ini merupakan pembangunan jangka panjang, yang akan memacu ekosistem teknologi hijau negara ke tahap yang lebih baik dan cemerlang di masa hadapan, lantas mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju hidrogen hijau serantau. – JM
