




Oleh: Sholina Osman
15 JULAI 2025
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyampaikan watikah pelantikan kepada enam daripada 12 anggota Lembaga Pengasas Majlis Media Malaysia (MMM) di Putrajaya hari ini (15 Julai).
Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Kesemua anggota lembaga pengasas dilantik berdasarkan kepakaran, pengalaman dan sumbangan dalam bidang kewartawanan, media, akademik dan komunikasi.
Kenyataan media Kementerian Komunikasi (KK) memaklumkan pelantikan ini adalah susulan daripada penggubalan Akta MMM 2025 [Akta 868] yang telah mula berkuat kuasa pada 14 Jun 2025.
MMM akan berperanan sebagai badan kawal selia kendiri (self-regulatory body) yang memperkasakan industri media di
Malaysia.
Penggubalan Akta MMM 2025 [Akta 868] merupakan komitmen Kerajaan MADANI melalui KK bagi menjamin kebebasan media dalam memastikan masyarakat umum mendapat maklumat yang sahih, berintegriti dan adil.
SEMAK DAN IMBANG
Melalui penubuhan MMM, ruang semak dan imbang boleh dilaksanakan oleh pemain industri media sendiri bagi meningkatkan amalan integriti dan pematuhan etika.
Antara fungsi-fungsi MMM seperti yang diperuntukkan di bawah perenggan 5 (1) Akta 868 termasuklah untuk menetapkan standard dan mengadakan tatalaku bagi pengamal media dan pengamal media bebas mengikut standard kewartawanan yang beretika dan bertanggungjawab.
Selain itu untuk menggalakkan standard kewartawanan yang beretika dan bertanggungjawab yang tertinggi, kebebasan media dan hak pengamal media.
Juga untuk mengawal selia etika dan tatalaku profesional pengamal media dan pengamal media bebas.
ANTARA PENGAMAL MEDIA
Selain menggalakkan komunikasi antara pengamal media, Kerajaan dan orang awam.
Juga untuk mencadangkan apa-apa pembaharuan undang-undang yang berhubungan dengan kebebasan media.
Pelantikan ini juga menandakan permulaan rasmi kepada proses penubuhan MMM yang bakal berperanan sebagai institusi bebas yang menyokong industri media yang bertanggungjawab dan beretika, selaras dengan semangat Malaysia MADANI dan prinsip demokrasi berparlimen. – JM
