


Oleh: Sholina Osman
22 JULAI 2025
Sejumlah RM48.873 bilion merupakan nilai kos keseluruhan program/aktiviti/projek yang diaudit dan bukan jumlah ketirisan atau kerugian seperti yang disalah lapor oleh beberapa pihak, kata Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
Beliau berkata, kenyataan sedemikian berpotensi mencetuskan kekeliruan serta persepsi negatif yang tidak berasas terhadap pengurusan kewangan negara.
“Skop pengauditan ini secara amnya mengambil kira prestasi program/projek/aktiviti yang telah dilaksanakan merangkumi pelbagai tahun ke belakang (isu-isu legasi)
serta sebarang usaha atau inisiatif yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini (22 Julai).
Wan Suraya berkata, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 Mengenai Aktiviti Kementerian/Jabatan/Agensi/Syarikat Kerajaan Persekutuan telah dibentangkan dalam Dewan Rakyat pada 21 Julai 2025 (Isnin) setelah mendapat perkenan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan
Agong.
INI AKAN DIBAHASKAN
Seterusnya, kata beliau laporan ini akan dibahaskan di Dewan Rakyat pada 23 Julai 2025 (Rabu).
“Sepanjang proses pengauditan, Jabatan Audit Negara mendapat sokongan jitu daripada semua jentera Kerajaan termasuk Perdana Menteri dan Jemaah Menteri,” kata beliau.
Tambah beliau, kerjasama dan komitmen ini amat penting sebagai pemangkin kepada tadbir urus berintegriti, dan menyokong agenda reformasi sektor awam ke arah pentadbiran yang cekap, berakauntabiliti dan berorientasikan rakyat. – JM
