






Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
23 JULAI 2025
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengorak langkah strategik dalam memperkukuh jaringan antarabangsa apabila menjalin hubungan bersama Rwanda Muslim Community (RMC) melalui satu sesi libat urus bersejarah di Kigali, ibu negara Rwanda.
Demikian menurut kenyataan MAIPs.
Sesi berkenaan diketuai oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang mengetuai delegasi MAIPs ke Rwanda.
SEBUAH PERTUBUHAN ISLAM
Keberangkatan Baginda disambut oleh Mufti Besar Rwanda, Sheikh Musa Sindayigaya, yang mengetuai RMC, sebuah pertubuhan Islam yang diiktiraf oleh kerajaan Rwanda sejak tahun 1964 sebagai suara rasmi umat Islam di negara itu.
Baginda turut diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Delegasi turut disertai oleh Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
USAHA MEMPERKUKUH KERJASAMA
Sesi libat urus ini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan Islam, khususnya melalui pertukaran pengalaman dan kepakaran dalam pembangunan institusi pendidikan Islam yang progresif dan inklusif.
Turut dibincangkan ialah pelaksanaan program pengajian tinggi dan kursus dalam talian secara bersama dengan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) yang bernaung sepenuhnya di bawah MAIPs.
Perbincangan turut membuka ruang kepada penerokaan lebih meluas dalam aspek modul pendidikan Islam Malaysia, jaringan kerjasama sarjana dan pertukaran akademik antara kedua-dua negara.
RMC menyuarakan komitmen dan harapan agar kerjasama ini dapat menjadi pemangkin ke arah mempertingkatkan tahap pendidikan Islam di Rwanda agar setara dengan pembangunan negara berkenaan yang semakin pesat.
PENYERAHAN SURAT HASRAT
Sesi libat urus ini diakhiri dengan Majlis Penyerahan Surat Hasrat Kerjasama (Letter of Intent – LoI) antara Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs dan Mufti Rwanda mewakili RMC, yang disaksikan oleh Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis sebagai simbol permulaan hubungan rasmi dan hala tuju strategik antara kedua-dua institusi.
Dalam ucapan penutup, Mufti Perlis menyatakan keyakinan bahawa kerjasama ini akan memberi impak besar terhadap usaha memperkasa pendidikan Islam serta mewujudkan jaringan ummah yang lebih kukuh.
“Adalah menjadi harapan MAIPs agar hasrat kerjasama ini dapat diterjemah dalam bentuk tindakan berimpak tinggi pada masa akan datang melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif seperti pelaksanaan Program bersama antara para sarjana Islam di Benua Afrika bersama Jaringan MAIPs di nusantara, demi memartabatkan pendidikan Islam dan mengukuhkan lagi semangat ukhuwah islamiah antara dua negara bersaudara ini,” ujar beliau.
Lawatan ini mencerminkan komitmen berpanjangan MAIPs terhadap pembangunan ummah sejagat serta usaha memperkukuh peranan Malaysia sebagai rakan strategik dalam pendidikan Islam di peringkat global. – JM
