JIM lancar Sistem MyVISA 2.0 mulai 1 Ogos 2025

Oleh: Sholina Osman
23 JULAI 2025

Kerajaan MADANI meluncurkan Sistem MyVISA 2.0 dalam usaha memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan awam khususnya dalam sektor imigresen.

Kenyataan media Jabatan Imigresen Malaysian (JIM) memaklumkan Sistem MyVISA 2.0 ini akan mula digunakan pada 1 Ogos 2025.

MYVISA 2.0 merupakan
penambahbaikan ke atas Sistem MyVISA yang telah diperkenalkan oleh JIM pada 1 Disember 2021.

Sistem baharu ini dibangunkan semula sebagai satu platform visa digital bersepadu yang menawarkan pengalaman permohonan lebih pantas, selamat dan efisien selaras dengan kehendak rakyat dan pelawat antarabangsa yang mengutamakan
kemudahan dalam perkhidmatan awam.

PELBAGAI TEKNOLOGI TERKINI

MyVISA 2.0 memperkenalkan pelbagai teknologi terkini seperti pengecaman aksara optik
(OCR), notifikasi masa nyata, automasi pintar dan aplikasi mudah alih khusus untuk pemohon.

Ia menawarkan permohonan visa secara digital sepenuhnya dari imbasan pasport, pemuatan dokumen, temu duga maya, penjejakan masa nyata, kelulusan eVisa dengan kod QR hinggalah kepada bantuan interaktif melalui live chat.

Pemohon tidak perlu hadir ke Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara.

Terdahulu JIM menyambut Hari Imigresen ke-103 bertempat di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya yang telah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

MERUPAKAN ACARA TAHUNAN

Sambutan Hari Imigresen merupakan acara tahunan yang telah disambut sejak tahun 2000.

Bulan Julai dipilih sebagai bulan sambutan sempena dengan pengenalan Undang-undang Imigresen yang pertama mengenai kawalan kemasukan ke Negara “Passenger Restriction Ordinance 1922” yang telah dikuatkuasakan mulai 21 Julai 1922.

Sambutan ini merupakan lambang kepada legasi yang dibina oleh Jabatan Imigresen Malaysia sejak
tahun 1922.

Dari kaunter manual ke sistem digital, dari pasport kertas biasa, kemudian beralih kepada pasport berciri keselamatan tinggi, sebelum menjadi antara negara terawal di dunia yang
memperkenalkan pasport biometrik pada tahun 1998 lengkap dengan cip keselamatan dan data cap jari.

MEMASUKI FASA BAHARU

JIM kini memasuki fasa baharu yang didorong oleh AI dan selari dengan
tuntutan masa hadapan.

Pasport Malaysia kini menduduki tempat ke-8 paling berkuasa di dunia
(PassportRanking.org Index, 2025), memberikan akses visa percuma atau visa semasa ketibaan ke 170 negara.

Tempoh pemprosesan pasport telah melalui evolusi besar dari 2 hingga 4 minggu pada era 1960-1980 an, 2 hingga 3 minggu pada 1980-1990 an, 7 hingga 14 hari pada awal 1990 an, sekitar 1 minggu pada 1999 semasa peralihan ke e-pasport, dan kini hanya mengambil masa 1 jam hingga 1 hari sejak 2016 dengan sistem biometrik dan digital.

Bersempena dengan Sambutan Hari Imigresen ke-103, Jabatan ini mengangkat tema ‘AI Meneraju Reformasi Imigresen’.

AI bukan lagi satu pilihan, tetapi keperluan strategik.

JIM melihat AI sebagai enjin pemacu utama dalam usaha meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh keselamatan dan memberi perkhidmatan yang lebih cepat serta
tepat kepada rakyat dan warga asing. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *