MPPK tegaskan secara rasmi tidak akan terlibat Himpunan “Turun Anwar”

Oleh: Sholina Osman
23 JULAI 2025

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menegaskan secara rasmi tidak akan terlibat dalam mana-mana perhimpunan yang bersifat partisan, termasuk Himpunan “Turun Anwar”.

Kenyataan media MPPK memaklumkan bahawa pendirian ini diambil bagi memastikan MPPK kekal sebagai badan yang bebas, neutral dan terbuka untuk semua suara mahasiswa tanpa menyebelahi mana-mana ideologi politik.

Penjelasan MPPK ini sebagai mengambil maklum berkenaan jemputan terbuka kepada mahasiswa institusi pengajian tinggi untuk menyertai Himpunan “Turun Anwar” yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai 2025 di ibu negara.

Sebagai platform rasmi yang mewakili pelbagai Majlis Perwakilan Pelajar seluruh negara, MPPK mengiktiraf bahawa wujud kepelbagaian pandangan dalam kalangan mahasiswa, termasuk dalam isu kepimpinan dan dasar semasa negara.

HAK SETIAP MAHASISWA

MPPK menghormati hak setiap mahasiswa untuk menyuarakan pendapat, sama ada menyokong atau tidak menyokong kerajaan yang sedang memerintah, selagi ia dilaksanakan secara aman, beradab dan mengikut lunas perundangan yang sah.

Dalam masa yang sama, MPPK tidak menghalang mana-mana mahasiswa untuk menyatakan pendirian secara individu atau menyertai himpunan tersebut, selagi ia dilakukan dengan penuh tanggungjawab, secara aman dan tidak mencemarkan nama baik institusi pengajian tinggi yang diwakili.

“Kami menyeru agar mahasiswa sentiasa menjaga etika, tingkah laku, dan identiti sebagai golongan terpelajar yang mencerminkan imej institusi secara positif di mata masyarakat,” jelas kenyataan itu lagi.

Sebagaimana yang termaktub dalam Seksyen 15(1)(a) Akta Universiti dan
Kolej Universiti (AUKU) 1971:
“Seseorang pelajar universiti mempunyai hak untuk menyatakan pendapatnya dengan bebas, termasuk dalam isu-isu berkepentingan awam, tertakluk kepada undang-undang dan peraturan universiti yang berkuat kuasa.”

BUKAN SEKADAR TURUN

Sehubungan itu MPPK percaya bahawa peranan mahasiswa dalam negara bukan sekadar turun ke jalan, tetapi juga menuntut penglibatan aktif dalam proses dialog, penyampaian dasar, dan reformasi institusi melalui pendekatan berfakta dan konstruktif.

Budaya demokrasi tidak hanya terletak pada perhimpunan, tetapi juga melalui diskusi yang matang dan perundingan yang sihat.

MPPK menyeru seluruh mahasiswa untuk membuat penilaian berdasarkan fakta, etika dan rasional.

Jadilah mahasiswa yang berpandangan jauh, menjaga nama baik universiti, serta memainkan peranan sebagai agen perubahan yang menyatukan bukan memecahbelahkan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *