




Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
7 OGOS 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Menteri Pembangunan Peralatan Suruhanjaya Ketenteraan Pusat Republik Rakyat China, Jeneral Xu Xueqiang pagi tadi (7 Ogos).
Beliau berkata pertemuan ini menyentuh perkembangan hubungan dua hala Malaysia dan China yang terus mengukuh, khususnya dalam bidang keselamatan dan pertahanan.
Jelas beliau lagi, Malaysia menghargai kerjasama erat dengan China dalam aspek keselamatan termasuk latihan bersama, selain menekankan kepentingan kolaborasi dalam teknologi strategik.
ISU-ISU SERANTAU
“Saya turut merakamkan penghargaan terhadap peranan konstruktif yang dimainkan China dalam isu-isu serantau, termasuk usaha gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand serta sokongan berterusan dalam menangani krisis di Myanmar,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
Beliau menzahirkan rasa hormat kepada kepimpinan tertinggi China dan menantikan peluang untuk bertemu Presiden Xi Jinping dan Premier Li Qiang awal bulan depan. – JM
