Kementerian disaran kemaskini pengetahuan warga kerja mengenai undang-undang terkini

Oleh: Sholina Osman
11 OGOS 2025

Kementerian, agensi, pertubuhan dan institusi disaran sentiasa mengemaskini pengetahuan warga kerja masing-masing mengenai perkembangan undang-undang terkini serta memastikan dasar dan prosedur dalaman selaras dengan peruntukan ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan kejahilan berkenaan undang-undang bukan sebuah alasan di sisi undang-undang (ignorance of the law is not an excuse).

“Kefahaman yang jelas terhadap hak dan tanggungjawab di bawah undang-undang merupakan langkah pertama bagi membina masyarakat yang lebih selamat, beretika dan berperikemanusiaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini (11 Ogos).

Azalina juga menjelaskan bahawa Kerajaan melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) telah memperkenalkan pindaan kepada Kanun Keseksaan melalui Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 [Akta A1750] yang telah mendapat Perkenan Diraja pada 25 Februari 2025 dan diwartakan pada 7 Mac 2025.

“Akta ini berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta,” kata beliau.

MEMASUKKAN SEKSYEN BAHARU

Azalina berkata, pindaan ini memasukkan seksyen baharu 507B hingga 507G yang antaranya bertujuan menangani secara khusus isu buli yang dilakukan dalam apa-apa cara atau kaedah termasuk dalam talian.

“Pindaan ini memperuntukkan kesalahan berkaitan gangguan, ancaman, perbuatan membuli, penghinaan serta penyalahgunaan maklumat identiti, termasuk situasi yang mendorong kepada cubaan membunuh diri dan jika orang yang diprovokasi cuba untuk membunuh diri atau membunuh diri akibat provokasi itu, hukuman bagi kesalahan ialah pemenjaraan bagi suatu tempoh yang boleh dilanjutkan hingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” kata beliau.

Maka, kata beliau ia adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat untuk meneliti dan mematuhi undang- undang yang sudah berkuatkuasa ini.

“Sekiranya terdapat kekeliruan atau keperluan mendapatkan penjelasan lanjut, khalayak ramai dialu-alukan mendapatkan maklumat terus daripada BHEUU, JPM atau Jabatan Bantuan Guaman yang sedia memberikan khidmat penerangan secara percuma, ujar beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *