

Oleh: Sholina Osman
13 OGOS 2025
Semua masjid di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk mengadakan Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat buat Almarhumah Zara Qairina pada hari Khamis, 14 Ogos 2025 selepas solat Maghrib.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata arahan ini sebagai tanda solidariti, doa dan ingatan tulus kita sebagai sebuah keluarga besar umat Islam terhadap Zara.
Beliau berkata semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan mengampuni segala dosanya, serta menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang beriman.
SAMA-SAMA HADIR
“Saya menyeru seluruh umat Islam khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan untuk sama-sama hadir dan menyertai majlis bacaan yasin dan solat hajat di masjid atau surau masing-masing,” katanya dalam kenyataan media (12 Ogos).
Beliau berkata semoga doa yang dipanjatkan secara berjemaah ini memberi ketenangan kepada ahli keluarga dan menjadi bekalan pahala buat almarhumah.
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka Syurga Firdaus sebagai tempat tinggal.” (Surah Al-Kahfi: 107). – JM
