PERKUATKAN BENTENG PERTAHANAN KANAK-KANAK, WANITA: Nurul Izzah gesa kerajaan tambah peruntukan khas Unit D11 PDRM dalam belanjawan Oktober ini

Oleh Noraini Nordin
(Sorotan berita)

17 Ogos 2025

Sebagai tanda prihatin agar kes buli serta jenayah seksual terhadap wanita dan kanak-kanak dapat ditangani dengan lebih berkesan, Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar telah menghulurkan sumbangan kepada Unit D11, PDRM baru-baru ini.

Bantuan yang dihulurkannya melalui sumbangan insan-insan yang prihatin adalah sepuluh buah komputer baharu dan kos ubahsuai sebuah bilik khas untuk kanak-kanak ditemubual agar menjadi ruang yang lebih mesra serta selamat.

Kata beliau, usahanya itu berikutan lawatannya ke unit tersebut bulan lalu yang mendapati mereka hanya bergantung kepada empat komputer lama dalam menjalankan tugas berat itu.

SUMBER DAN ANGGOTA TERHAD

“Dengan sumber dan anggota yang terhad, mereka tetap cekal menangani jumlah kes yang semakin meningkat.

“Mereka perlu meneliti bukti melibatkan bayi seawal enam bulan, termasuk rakaman jenayah kejam yang bukan sahaja meragut maruah, tetapi turut dijual di laman gelap untuk keuntungan.

“Pegawai-pegawai D11 ini bukan manusia biasa. Mereka adalah ibu, malah ada yang sudah bergelar nenek.

“Namun demi mencari petunjuk untuk menangkap penjenayah, mereka sanggup menonton berulang kali setiap rakaman siasatan yang amat menyayat hati,” katanya dalam catatan di Facebooknya hari ini.

Menurut Nurul Izzah, ramai mungkin belum sedar tentang kewujudan Unit D11 yang terletak di bawah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM.

Unit kecil itu, katanya, memikul beban yang sangat berat – mereka ditugaskan menyiasat kes-kes jenayah s3ksu@l terhadap wanita dan kanak-kanak di seluruh negara di mana hampir semua pegawai dan staf sokongan yang berkhidmat dalam unit itu adalah terdiri daripada kaum wanita.

Nurul Izzah berkata lagi, SAC Siti Kamsiah yang mengetuai Unit D11 pernah berkata kepadanya –
“Kebanyakan pegawai di unit berkenaan adalah seorang ibu. Demi melindungi anak-anak Malaysia, sebagaimana mereka melindungi anak kandung sendiri, mereka sanggup lakukan apa sahaja untuk memastikan penjenayah dibawa ke muka pengadilan.”

Namun, katanya, keadaan mereka dalam menjalankan tugas seharian adalah serba kekurangan.

Keadaan itu, tambah beliau, membuatkannya benar-benar terharu, lalu terpanggil untuk membantu setakat yang termampu.

Dalam masa yang sama, berikutan jenayah buli kian membimbangkan kebelakangan ini dengan munculnya kes Zara Qairina dan apa yang berlaku kepada anak Rafizi Ramli, Nurul Izzah menyeru agar kerajaan menambah peruntukan khusus untuk Unit D11 dalam Belanjawan 2026 yang alan dibentangkan pada Oktober akan datang nanti.

JANGAN BIARKAN MEREKA BERJUANG BERSENDIRIAN

“Unit ini perlu diperkasakan dengan kelengkapan, peralatan moden dan anggota tambahan.

“Jangan biarkan mereka berjuang bersendirian tanpa sokongan yang mencukupi.

“Kes Allahyarhamah Zara Qairina dan serangan kejam terhadap anak Rafizi adalah isyarat jelas kepada kita semua bahawa jika kita gagal bertindak hari ini, lebih ramai anak-anak akan menjadi mangsa selepas ini,” ujar beliau.

Baginya, anak-anak negara ini berhak hidup dengan selamat, tanpa ketakutan.

“Mereka adalah aset masa depan negara dan keselamatan mereka tidak boleh dikompromi,” tegasnya.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *