


Oleh: Sholina Osman
18 OGOS 2025
Kementerian Komunikasi akan melaksanakan Kempen Kesedaran Nasional Antibuli secara menyeluruh melalui televisyen, radio, media sosial dan platform digital.
Menterinya Datuk Fahmi Fadzil berkata pelaksanaan tindakan susulan rentas kementerian bagi memastikan mesej antibuli sampai kepada murid, pelajar, ibu bapa dan komuniti secara bersepadu.
“Pengarusperdanaan nilai hormat, disiplin dan kasih sayang dalam komunikasi strategik kerajaan serta program masyarakat,” kata Fahmi dalam kenyataan media hari ini (18 Ogos).
Fahmi menjelaskan demikian sebagai menjunjung titah Seri Paduka Baginda berhubung keperluan membendung budaya buli sejak peringkat sekolah.
ATAS LIMPAH PERKENAN
Terdahulu Fahmi menjunjung kasih atas limpah perkenan Seri Paduka Baginda yang telah menerima menghadap beliau di Istana Negara hari ini.
“Titah Baginda sebagai peringatan yang jelas bahawa budaya buli bukan sahaja merosakkan emosi dan mental mangsa, malah berisiko melahirkan generasi yang hilang nilai hormat serta kasih sayang sesama insan,” kata Fahmi.
Fahmi berkata titah Seri Paduka Baginda juga bertepatan dengan komitmen Kerajaan MADANI melalui pindaan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025, yang menzahirkan kesungguhan kerajaan untuk menangani isu buli dengan lebih tegas.
MEMASTIKAN MESEJ ANTIBULI
Beliau berkata Kementerian juga akan membantu memastikan mesej antibuli disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami kanak-kanak dan remaja, selaras dengan hasrat Seri Paduka Baginda agar generasi muda memahami erti hormat-menghormati dan mengamalkan nilai murni sejak
kecil.
“Saya menyeru semua pihak, termasuk ibu bapa, sekolah, komuniti dan media, untuk bersama-sama berganding bahu membanteras gejala buli,” kata beliau lagi.
Fahmi berkata hanya melalui kesepakatan menyeluruh kita mampu melahirkan generasi yang berakhlak mulia, berdisiplin dan berjiwa penyayang. – JM
