



Oleh Noraini Nordin
(Ulasan Berita)
22 Ogos 2025
Pengumuman Perdana Menteri Datok Seri Anwar Ibrahim mengenai hasrat mewujudkan semula Kementerian Undang-Undang membuktikan satu lagi reformasi sedang diusahakan oleh Kerajaan Madani.
Melalui penubuhan kementerian berkenaan, ia membuktikan kerajaan serius mahu memartabatkan sistem undang-undang ke arah yang lebih baik dan kemas.
Ia juga menunjukkan reformasi dalam Kerajaan Madani yang diterajui oleh PMX sentiasa berjalan lancar daripada semasa ke semasa.
Cadangan itu wajar disambut baik oleh masyarakat khasnya yang terlibat dalam bidang perundangan.
PMX pada Khamis lalu menegaskan, beliau sedang mempertimbangkan secara serius untuk mewujudkan semula Kementerian Undang-undang.
Kali terakhir kementerian berkenaan wujud ialah pada 1995 di mana selepas itu ia ditukar menjadi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Menteri berkaitan ketika ini ialah Datok Seri Azalina Othman Said yang juga Ketua Penerangan UMNO.
MENGUKUHKAN PERANAN MALAYSIA DI RANTAU INI
Anwar berkata, dengan menghidupkan semula Kementerian Undang-undang, sistem perundangan negara akan mempunyai struktur lebih baik dan dapat mengukuhkan peranan Malaysia di rantau ini.
“Ini bukan saja akan memastikan kesepaduan lebih baik dalam ekosistem perundangan negara, tetapi juga akan membolehkan Malaysia berinteraksi dengan lebih bermakna bersama rakan serantau dalam usaha memajukan kedaulatan undang-undang,” katanya pada Forum Undang-Undang Asean di ibu negara.
Secara mudahnya, undang-undang adalah teras sesebuah negara dan dengan sistemnya dijadikan bertambah baik, ia turut bermakna meletakkan Malaysia di tempat yang lebih disegani lagi di mata dunia.
Dengan adanya kementerian yang khusus berkaitan undang-undang juga mampu memperluas akses rakyat terhadap aspek keadilan dalam negara.
Malah, hasrat itu selaras dengan agenda Malaysia Madani yang bertujuan mengangkat integriti, ketelusan dan kedaulatan undang-undang sebagai asas kemajuan negara.
Terlanjur Perdana Menteri sudah mengumumkan perkara itu, adalah disarankan agar Kementerian Undang-Undang diwujudkan dalam tempoh yang terdekat ini.
Paling munasabah jika Kementerian Undang-Undang itu dapat diwujudkan bersekali dengan rombakan kabinet yang mungkin boleh diadakan dalam waktu terdekat ini bagi mengisi kekosongan jawatan menteri yang ditinggalkan oleh Datok Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.
