






Oleh: Sholina Osman
28 OGOS 2025.
Tadbir urus yang cekap, telus dan berintegriti itu bukan sahaja mencerminkan keutuhan organisasi, bahkan menjadi asas utama dalam membina kepercayaan masyarakat terhadap sistem penyampaiannya.
Setiap ahli di dalam sesebuah organisasi memiliki tanggungjawab untuk sama-sama menjunjung prinsip akauntabiliti, ketelusan dan profesionalisme dalam semua aspek pengurusan.
Sesebuah organisasi itu hanya akan mencapai kecemerlangan apabila budaya integriti terus subur dan dijadikan asas dalam membuat keputusan dan melaksanakan amanah. Hindarilah daripada perkara-perkara negatif yang akan atau mampu mencemarkan nama baik Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Islam secara khususnya.
PERSIDANGAN MESYUARAT MAIPs
Demikian menurut kenyataan MAIPs, titah ucapan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat mempengerusikan Persidangan Mesyuarat MAIPs Bilangan Ke-4 bagi tahun 2025 di ibu negara baru-baru ini.
Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs berharap agar setiap pelan tindakan dan keputusan yang dicapai dalam mesyuarat tersebut perlulah diterjemahkan dengan penuh iltizam dan bertunjangkan kepada kepentingan awam serta nilai-nilai murni demi kemajuan umat Perlis. – JM
