



Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
27 OGOS 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan empat mata bersama Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bagi menilai pencapaian kerjasama di samping merangka hala tuju yang lebih utuh antara Malaysia dan Brunei Darussalam.
“Kami sepakat serta berkongsi tekad yang sama untuk menyelesaikan isu tertunggak yang telah lama berlarutan,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
Beliau berkata kesepakatan ini diyakini mampu mengangkat hubungan Malaysia dan Brunei Darussalam ke tahap yang lebih erat dan strategik.
“Antara yang dibincangkan termasuk soal sempadan, bidang kerjasama komersial yang merangkumi sektor tenaga, hal ehwal maritim, perdagangan dan pelaburan,” tambah Anwar.
MENGALUKAN PENAMBAHAN PENERBANGAN
Selain itu beliau berkata Malaysia turut mengalukan penambahan penerbangan Royal Brunei Airlines ke Sabah, pembukaan Sarawak Trade and Tourism Office (STATO) di Bandar Seri Begawan, serta prospek kerjasama dalam bidang pertanian, sekuriti makanan, dan pendidikan.
“Selain itu, kami turut mengambil kesempatan untuk bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, termasuk situasi di Myanmar serta perkembangan melibatkan konflik di Kemboja dan Thailand,” tambah Perdana Menteri.
“Usai pertemuan, saya telah meraikan Baginda Tuanku dan delegasi Brunei Darussalam dalam Majlis Makan Tengah Hari,” tambah Anwar. – JM
