PMX lancarkan CD:NXT inisiatif CelcomDigi bangunkan bakat muda dalam AI

Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
27 OGOS 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke CelcomDigi Hub untuk melancarkan CD:NXT, inisiatif penting oleh CelcomDigi dalam membangunkan bakat muda berkualiti tinggi dalam bidang digital dan teknologi moden, khususnya dalam kecerdasan buatan (AI).

“Saya amat menghargai komitmen CelcomDigi yang memperuntukkan RM100 juta untuk menjayakan program ini, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 5,000 penerima,” kata beliau dalam hantaran di FB.

Anwar menjelaskan model sebegini wajar dicontohi oleh lebih banyak syarikat tempatan dalam usaha membentuk generasi muda yang kompeten, celik teknologi dan bersedia memimpin masa depan negara.

TITIK-TITIK PERKEMBANGAN

“Dalam ucapan saya, saya tegaskan bahawa segala perubahan melibatkan teknologi baharu, transformasi digital, peralihan tenaga serta Grid Kuasa ASEAN (APG) adalah titik-titik perkembangan penting ke arah menaikkan siling pertumbuhan ekonomi negara,” kata beliau.

Namun begitu, beliau berkata manfaat daripada perubahan ini mesti dapat dirasai dan dinikmati oleh seluruh masyarakat, khususnya golongan belia yang merupakan pewaris masa depan negara.

Sehubungan itu, tambah beliau penyediaan silibus yang komprehensif dan menyeluruh amat penting, agar belia dilengkapi bukan sahaja dengan pengetahuan teknologi moden, tetapi juga tetap berpaksikan kepada akar budaya dan jati diri bangsa.

“Transformasi masa depan harus seiring dengan nilai-nilai Malaysia MADANI,” tambah Perdana Menteri. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *