20 wanita Petagas, Sabah sertai bengkel hasilkan sabun dari bahan terbuang

Oleh: Sholina Osman
27 OGOS 2025

Jangan buang minyak masak dan hampas kopi!

Kedua bahan ini sebenarnya boleh dikitar semula supaya boleh digunakan semula dalam kehidupan seharian malah dapat melestarikan alam sekitar.

Berikutan itu satu bengkel yang khusus untuk menghasilkan sabun basuh dari minyak terpakai dan hampas kopi sebagai sabun mandi dianjurkan.

Ia telah diikuti oleh 20 wanita di Petagas, Putatan, Sabah baru-baru ini.

Bengkel ini dirasmikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Nurin Aina Abdullah, dan dikendalikan oleh Norazizah Ruslan.

AKAN DAPAT DIKEMBANGKAN

Semasa berucap Nurin Aina yakin
konsep “waste to wealth” yang diterapkan di bengkel itu akan dapat dikembangkan oleh para peserta yang hadir.

Beliau gembira melihat peserta bersemangat mempelajari kemahiran baru ini, tambahan pula ia adalah cara menjaga alam sekitar dengan konsep kitar dan guna semula.

“Ini seiring dengan inisiatif “waste to wealth” yang sering disebut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa,” ujar Nurin Aina.

Sementara itu Norazizah menjelaskan bengkel membuat sabun ini yang menggunakan teknik “cold process” tidak sukar untuk dipelajari dan ia juga menggunakan bahan yang mudah didapati.

MEMBUAT SABUN BASUH

“Peserta akan membuat sabun basuh dari minyak masak terpakai dan sabun mandi dari hampas kopi,” tambah beliau.

Beliau berkata dengan kemahiran ini akan membolehkan peserta menjana pendapatan selain itu dapat mengamalkan pengurusan sisa pepejal yang betul dan sistematik juga dapat ditingkatkan.

“Amalan kitar semula perlu diterapkan di semua peringkat usia dan lapisan masyarakat supaya kelestarian alam dapat dijaga,” katanya.

Bagi Ketua Cabang Putatan, Awang Husaini Suhairi pula, biarpun pertama kali diadakan bengkel membuat sabun di daerah Putatan namun beliau akan mencuba untuk menganjurkan program kemahiran seperti itu pada masa akan datang di kawasan berkenaan.

MINYAK MASAK TERPAKAI

Pada bengkel berkenaan, sebanyak 10 kilogram minyak masak terpakai telah dijadikan sabun basuh.

Manakala sabun kopi dihasilkan dengan gabungan minyak sawit, minyak kelapa, dan minyak zaitun.

Secara keseluruhannya, bengkel ini telah berjaya memberikan pendedahan dan kemahiran baru kepada peserta, sambil mempromosikan kesedaran tentang kelestarian alam sekitar. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *