






Oleh: Sholina Osman
31 OGOS 2025
Sempena sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini, kejujuran dan keikhlasan dalam melaksanakan amanah merupakan asas kepada kepercayaan masyarakat dan kelangsungan tadbir urus yang bersih dan telus di segenap peringkat di negeri ini.
Pada masa yang sama, perlu mematuhi masa dan mempamerkan disiplin kerja yang tinggi dengan menunjukkan komitmen terhadap tanggungjawab, selain melambangkan profesionalisme sesebuah institusi.
Demikian menurut kenyataan MAIPs, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan mengetuai program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di sekitar Oran, Mata Ayer baru-baru ini.
Berangkat sama mengiringi baginda ialah anakanda, Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
SETIAP LAPISAN MASYARAKAT
Kayuhan amal ini merupakan usaha berterusan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat, khususnya golongan asnaf, tidak terpinggir daripada menerima manfaat zakat di negeri ini. Pada masa yang sama, ia memperkukuh peranan MAIPs sebagai sebuah institusi yang sentiasa dekat di hati rakyat.
Program ini bukan sahaja menjadi wadah kebajikan, malah turut menyemai amalan gaya hidup sihat melalui aktiviti berbasikal sambil beramal. Ia juga membuka ruang kepada masyarakat setempat untuk berinteraksi secara langsung bersama Tuanku Raja Muda Perlis.
Dalam kesempatan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada tiga orang asnaf terpilih iaitu Hasliza Hashim, 48, dari Kampung Hutan Lembang, Aishah Ahmad, 92, dari Kampung Hutan Temin, dan Ahzali Saidin, 56, dari Kampung Oran.
Setiap penerima menerima bantuan berupa wang tunai sebanyak RM700, Kit MAIPs Peduli, serta beras fidyah bagi meringankan beban keperluan harian mereka. – JM
