







Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
31 OGOS 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa tersentuh hati melihat pelbagai persembahan yang bukan sahaja memukau, malah disemai dengan nilai-nilai perpaduan, kekitaan dan cinta tanah air disambut meriah oleh lautan rakyat yang membanjiri setiap ruang pada sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di Dataran Putrajaya sejak dari awal pagi ini.
Beliau berharap semoga semangat perpaduan ini terus dipelihara dan diperkuatkan demi masa depan Malaysia yang harmoni, sejahtera dan berdaya saing.
“Malaysia hanya akan terus maju jika kita melangkah bersama, sebagai satu keluarga besar yang menghargai perbezaan dan meraikan persamaan,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Perdana Menteri dan isteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengiringi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Raja Zarith Sofiah.
Majlis yang berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh makna turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof selain menteri-menteri kabinet. – JM
