PMX, isteri saksi perarakan ulang tahun kebangkitan China di Dataran Tian’anmen, Beijing

Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
3 SEPT 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memenuhi jemputan Presiden Xi Jinping untuk menyaksikan perarakan memperingati ulang tahun kebangkitan rakyat China dan penamatan Perang Dunia Kedua di Dataran Tian’anmen, Beijing pada hari terakhir dalam lawatan kerja empat hari ke China.

“Bersama barisan 26 pimpinan dunia, kami diberi penghormatan untuk menyaksikan perarakan ini dari Gerbang Tian’anmen, monumen bersejarah yang pernah menjadi pintu masuk utama ke Kota Larangan sewaktu Dinasti Ming dan Qing,” kata beliau dalam hantaran di FB.

Beliau berkata di sebalik pertunjukan aset ketenteraan yang memukau, perarakan ini hakikatnya adalah simbolik penentangan terhadap kezaliman, penindasan, pencerobohan, kerakusan kuasa, kolonialisme dan imperialisme yang menjadi titik hitam dalam sejarah peradaban manusia.

MASIH LAGI DIHANTUI

Bagaimanapun kata Anwar selepas 80 tahun tamatnya Perang Dunia Kedua, dunia masih lagi dihantui penindasan dan kekejaman yang berlaku secara terbuka, tanpa penentangan daripada kuasa-kuasa besar yang sering mendabik dada tentang demokrasi dan hak asasi manusia.

“Situasi ini mengingatkan kita bahawa keamanan sejati hanya akan tercapai dengan keberanian dan keyakinan teguh untuk menolak kezaliman dalam apa jua bentuk,” kata beliau.

Selesai perarakan, Anwar dan isteri bersama sahabat-sahabat pimpinan dunia dijemput ke Great Hall of the People untuk jamuan tengah hari yang dihoskan Presiden Xi.

“Terima kasih Presiden Xi atas pengalaman bersejarah yang cukup bermakna,” ujar Perdana Menteri. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *