





KUALA LUMPUR, 3 September – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan TNG Digital Sdn. Bhd. berganding usaha memperkukuh integriti industri e-wallet menerusi pelaksanaan Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai kemuncak kepada hasil keterangkuman tiga siri bengkel yang telah dikendalikan pada 26 – 28 Ogos lalu.
Lafaz ikrar ini diketuai Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Alan Ni, disaksikan oleh Ketua Cawangan Swasta, Bahagian Pendidikan Masyarakat, PKPj Westmoreland anak Ajom dengan diiringi seramai 450 warga kerja TNG Digital Sdn. Bhd. secara atas talian dan seramai 60 orang secara fizikal.
Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Alan Ni dalam ucapannya menegaskan bahawa majlis IBR ini bukan hanya satu bentuk formaliti tetapi adalah asas komitmen kepada pembentukan integriti, ketelusan dan inovasi diri setiap warga TNG Digital dalam menyokong usaha sifar rasuah dan kepercayaan 24 juta pengguna medium digital ini.
Manakala Ketua Bahagian Pematuhan dan Tadbir Urus TNG Digital menyatakan sokongan initiatif SPRM bagi memupuk budaya anti rasuah dalam organisasi. PKPj Westmoreland merakamkan penghargaan kepada TNG Digital atas kesungguhan menganjurkan bengkel dan komitmen melaksanakan IBR.
Usaha ini jelas mencerminkan ‘Tone from the Top’ yang selari dengan hasrat Pelan Antirasuah Nasional (NACS) 2024–2028 dalam memperkukuh tadbir urus dan budaya menolak rasuah. Beliau juga menggalakkan TNG Digital untuk meneroka kerjasama CSR berasaskan komuniti, yang boleh meningkatkan kesedaran awam tentang integriti sambil membawa nilai sosial dan organisasi.
