






Oleh: Sholina Osman
6 SEPT. 2025
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan harapan agar pelaburan dalam bidang pendidikan, kesihatan, perumahan, serta kemudahan awam akan terus menjadi asas kepada kesejahteraan rakyat di negeri Perlis.
Prasarana-prasarana ini apabila dirancang dan kemudiannya direalisasikan dengan tersusun diyakini mampu melahirkan modal insan berkualiti sekali gus menyediakan persekitaran hidup yang lebih seimbang dan lestari.
Demikian titah Tuanku Raja Muda selepas berkenan berangkat menyempurnakan program Hijrah Minda Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di Masjid Al-Falah Behor Mempelam, dekat Arau.
MESTILAH TERUS MENGUTAMAKAN
Tuanku Syed Faizuddin Putra menambah bahawa setiap peringkat di negeri Perlis juga mestilah terus mengutamakan tadbir urus yang telus, bebas daripada amalan rasuah, serta berpaksikan nilai integriti.
Melalui kepimpinan berwawasan, negeri ini berupaya merencana pembangunan yang memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat, tanpa terikat pada sebarang batasan pemikiran sempit.
Bersempena program tersebut juga Tuanku Raja Muda berkenan mengurniakan sumbangan agihan zakat MAIPs bernilai RM700 setiap seorang kepada seramai 30 orang asnaf terpilih dengan jumlah penuh diagihkan sebanyak RM21,000 pada kali ini. – JM
