Kedudukan strategik Perlis bersempadan Thailand buka peluang rancakkan perdagangan – Raja Muda

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan YTSP Perlis
8 SEPT. 2025

Kedudukan strategik Perlis yang bersempadan dengan Thailand membuka peluang luas untuk merancakkan perdagangan dan pelaburan.

Melalui tawaran insentif yang sesuai serta persekitaran mesra pelabur, Perlis sesungguhnya berpotensi muncul sebagai hab baharu bagi industri pertanian moden, sektor pelancongan, dan perdagangan rentas sempadan.

Perlis juga perlu memperkukuhkan jaringan kerjasama serantau, bukan sahaja bersama negeri-negeri lain di Malaysia, malah turut diperkasa melalui hubungan dengan negara jiran.

MEMACU PERTUMBUHAN EKONOMI

Jalinan erat ini amat penting bagi memacu pertumbuhan ekonomi, memperkukuh keselamatan, dan meneguhkan kedudukan Perlis sebagai pintu gerbang utara negara.

Demikiah menurut kenyataan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selepas berkenan berangkat melancarkan ‘Promosi Makanan Perlis’ yang diadakan di Restoran Tainam Halal Seafood, Hatyai, Thailand semalam.

Promosi tersebut dianjurkan oleh restoran berkenaan yang beroperasi di alamat 1290 Kanjanavanich Rd, Hat Yai, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand dengan kerjasama YTSP Perlis, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), TTG Perlis dan Restoran Shamiza Mohd Noor dari Kilometer 3, Jalan Guar Nangka, Perlis.

BERASAL DARI SATUN

Keberangkatan Tuanku Raja Muda disambut oleh pemilik restoran iaitu, Asareena Chaiyakul dan Korawit Yachamnan yang kedua-duanya berasal dari Satun dan fasih berbahasa Melayu.

Sebagai rekod, Restoran Tainam Halal Seafood kini menjadi antara lokasi baru yang popular dikunjungi oleh pelancong dan pencinta makanan laut dari Malaysia serta rantau ini.

Terletak di pusat tumpuan pelancongan bersebelahan dengan kompleks membeli belah Central Festival, restoran ini terkenal dengan sajian makanan laut segar seperti udang galah, ketam, sotong serta pelbagai menu tradisi Thai yang dihidangkan dengan rasa autentik.

MENASIHATKAN SEMUA RAKYAT

Dalam perkara berasingan terdahulu daripada itu Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi yang mengiringi Tuanku Raja Muda menasihatkan semua rakyat Malaysia yang menetap dalam tempoh panjang di selatan Thailand digalakkan untuk mendaftar dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

Dalam sebarang situasi kecemasan seperti kemalangan, kehilangan pasport atau penahanan pula, segeralah menghubungi pihak Konsulat di :
Telefon (waktu pejabat): +66 74 321 231 / +66 74 323 243.
Telefon (waktu luar pejabat): +66 81 990 1930
Faks: +66 74 324 703.
E-mel: mwsongkhla@kln.gov.my

Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla juga mengucapkan selamat melancong dan mendoakan agar semua rakyat Malaysia menikmati percutian dan perjalanan yang selamat, lancar dan bermanfaat sepanjang berada di Selatan Thailand. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *