MATRI terima peruntukan khas MAIPs RM20 juta bagi tempoh 2026-2030

Oleh: Sholina Osman
11 SEPT. 2025

Ma’had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI) di Beseri, Perlis yang dinaiktaraf sebagai Sekolah Agama Seliaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah mendapat peruntukan khas berjumlah RM20 juta bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang DiPertua MAIPs berkenan menyempurnakan pelancaran tersebut susulan keputusan Persidangan MAIPs Bilangan Keempat Tahun 2025 yang dipengerusikan oleh Baginda.

Majlis ini diadakan sempena keberangkatan Baginda ke Program Titian Kasih Mega anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis di sekolah berkenaan.

SATU HINGGA TIGA

Seramai 114 pelajar yang terdiri dari 64 pelajar lelaki dan 50 pelajar perempuan tingkatan satu hingga tiga menghadiri program bertemakan ‘Perlis Hebat! Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Segala Tindakan’.

Baginda diiring Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Kedua Baginga disambut Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus serta penyelarasnya Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

MATRI kini menjadi sekolah agama pertama yang secara rasmi diletakkan di bawah seliaan Majlis melalui Bahagian Pendidikan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

REPLIKA CEK CURA

Pada majlis itu, Pengetua MATRI, Nasitah Ibrahim bersama Pengerusi Lembaga Pengelola MATRI menerima replika cek cura sebagai simbolik pelancaran daripada Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1987, MATRI telah berjaya melahirkan ribuan pelajar yang kini berkhidmat dalam pelbagai bidang kepakaran di seluruh dunia.

Pada masa ini, MATRI mempunyai 243 orang pelajar yang terdiri dari 135 orang dari Perlis, 81 dari negeri-negeri lain serta 27 pelajar antarabangsa termasuk dari Thailand, Singapura, Indonesia, Mesir, Yaman, Kemboja, Palestin dan Afrika Selatan.

BERJAYA MELANJUTKAN PENGAJIAN

Dalam bidang akademik, sebanyak 90 peratus pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 telah berjaya melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara.

Selain kejayaan akademik, pelajar MATRI juga cemerlang dalam kokurikulum.

Pasukan bola tampar sekolah ini berjaya mewakili Perlis ke kejohanan peringkat kebangsaan, selain penglibatan aktif dalam sukan badminton, bola sepak dan memanah.

Keunikan MATRI adalah kerana pendekatan tarbiyah Islam yang diterapkan secara menyeluruh, merangkumi aspek akademik, sahsiah dan kerohanian.

Pelajar dibiasakan dengan solat berjemaah di awal waktu, tadabbur al-Quran, usrah berkumpulan, kuliah mingguan, program mentor-mentee serta pelbagai kem motivasi.

TURUT MENEKANKAN PEMBUDAYAAN

MATRI turut menekankan pembudayaan takutkan dosa dan neraka, cintakan pahala dan syurga serta kesedaran terhadap tanggungjawab kepada Allah SWT dalam kehidupan seharian.

Dalam hubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor, dalam sembah ucapan menjelaskan bahawa peruntukan tersebut diharap dapat membantu mempertingkatkan kualiti pendidikan dan sahsiah pelajar, selain dapat memperkukuh prasarana sekolah serta menarik lebih ramai kemasukan pelajar.

“Menaiktaraf MATRI sebagai Sekolah Agama Seliaan Majlis ini selaras dengan dasar MAIPs sebagai peneraju hal ehwal Islam di Negeri Perlis,” kata beliau.

“Kita mahu memastikan institusi pendidikan Islam ini bukan sahaja berdaya saing dalam akademik, malah melahirkan insan rabbani yang mampu menyumbang kepada agama, bangsa dan negara,” tambah Mohd Nazim.

PENGHARGAAN KEPADA MAIPs

Dalam titah perasmian, Tuanku Raja Muda Perlis menzahirkan penghargaan kepada MAIPs dan pengurusan MATRI atas usaha bersama memperkukuh pendidikan Islam di negeri ini.

Baginda menekankan bahawa pendidikan berasaskan tarbiyah yang syumul amat penting dalam membina generasi berilmu, berakhlak mulia dan berdaya tahan menghadapi cabaran semasa.

“Dengan limpah rahmat Allah SWT, semoga MATRI terus berkembang sebagai pusat tarbiyah dan pendidikan yang unggul, selaras dengan hasrat negeri untuk menjadi peneraju dalam melahirkan insan yang cemerlang dunia dan akhirat,” titah Tuanku Syed Faizuddin Putra.

PERASMIAN BILIK S.O.L.E.H

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan perasmian Bilik S.O.L.E.H. yang diwujudkan sebagai ruang aktiviti pelajar yang berfungsi bukan sahaja untuk memperkukuh nilai kerohanian dan kepimpinan, malah menjadi medan bagi mencungkil bakat serta mempersembahkan pencapaian dalam pelbagai bidang.

Antara tarikan utama yang dipamerkan di bilik ini termasuk, Sudut Sukan yang mengetengahkan enam sukan teras beserta jersi rasmi dan koleksi anugerah yang telah diraih.

Selain itu Sudut Robotik dan Inovasi yang memperlihatkan aplikasi teknologi terkini seperti Kecerdasan Buatan (AI) dalam proses pembelajaran dan pengajaran, teknologi 3D serta demonstrasi penghasilan keychain.

Manakala Sudut Kebudayaan pula menampilkan instrumen nasyid dan pameran khas berkaitan perjuangan Palestin. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *