Raja Muda cadang Fasa 1 & 2 pembinaan SSM Perlis di Bukit Chabang dilaksana serentak

Oleh: Sholina Osman
11 SEPT. 2025

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mencadangkan agar projek pembinaan Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Perlis di Bukit Chabang yang tergendala sejak sekian lamanya dilaksanakan secara serentak bagi Fasa 1 dan Fasa 2.

Baginda bertitah, langkah ini wajar dipertimbangkan bagi mengelakkan timbul masalah apabila sekolah siap dan mula beroperasi kelak, khususnya melibatkan pergerakan keluar masuk kenderaan berat serta kerja-kerja kontraktor yang boleh menjejaskan suasana pembelajaran.

“Pelaksanaan serentak kedua-dua fasa ini akan memberi manfaat jangka panjang, selain menjamin keselamatan pelajar, kelancaran operasi sekolah apabila ia dibuka, serta mengelakkan pembaziran masa dan kos,” titah Baginda dalam majlis mengadap Pengarah bersama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis di Dewan Kulliyyah MAIPs, Kangar.

MENEMPATKAN 624 PELAJAR

SSM Perlis yang bakal menempatkan 624 pelajar bagi Fasa 1 dan 2 itu akan menjadi pusat kecemerlangan sukan zon utara, dengan fokus cadangan awal berupa badminton, bola sepak, bola jaring, olahraga, memanah, dan sepak takraw.

Beberapa sukan tambahan juga sedang dipertimbangkan termasuk hoki, ragbi, golf dan boling padang untuk Fasa 2, bagi memberi pilihan lebih luas serta peluang pengumpulan pingat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Dalam titahnya, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menyarankan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat semakan menyeluruh terhadap pelaksanaan aktiviti dan program di lima buah sekolah-sekolah sukan terdahulu di zon lain.

KELEMAHAN ATAU KEKURANGAN

Titah Baginda, sebarang kelemahan atau kekurangan (jika ada) yang dikenal pasti boleh ditambah baik serta diterapkan di SSM Perlis supaya sekolah baharu ini kelak benar-benar muncul sebagai model terbaik dalam aspek pembangunan bakat sukan muda negara.

Baginda juga berkenan agar program tambahan nilai seperti kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), persijilan profesional termasuk kejurulatihan dan pengadilan, serta penganjuran pertandingan secara berkala dijadikan budaya di SSM Perlis.

Ini kerana titah Raja Muda, bukan sahaja ia bakal melahirkan atlet berprestasi tinggi, tetapi juga memastikan para pelajar mempunyai laluan kerjaya lebih meluas selepas menamatkan pengajian untuk masa depan mereka lebih terjamin apabila bersara dari bersukan secara kompetitif.

MENJALINKAN KERJASAMA STRATEGIK

Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menyarankan agar SSM Perlis menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai organisasi seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Belia dan Sukan melalui agensi-agensi kementerian yang berhampiran bagi menjamin keberkesanan pengurusan serta menjimatkan kos.

“SSM Perlis bukan sahaja bakal menjadi mercu tanda baharu dalam pembangunan sukan negara, malah diharap akan menjadi platform melahirkan generasi pelapis yang seimbang, bukan sahaja dari segi pencapaian atletik tetapi juga pembangunan akademik, sahsiah dan kemahiran hidup.

“Beta berharap agar usaha memantapkan kecemerlangan sukan di negeri Perlis dapat dipergiatkan lagi demi masa depan generasi muda,” titah Baginda. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *