Malaysia kini jadi rujukan ASEAN, dunia laksana RUU Pekerja Gig – KESUMA

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan Google
10 SEPT. 2025

Malaysia kini muncul sebagai negara rujukan (benchmarking) kepada rantau ASEAN dan dunia dalam melaksanakan undang-undang progresif bagi sektor ekonomi gig.

Kenyataan media Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memaklumkan bahawa pekerja gig di negara ini akhirnya akan menikmati perlindungan yang sewajarnya sejajar dengan sumbangan mereka kepada pembangunan ekonomi gig negara.

“Fokus KESUMA selepas ini adalah untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi tujuan pewartaan dan penguatkuasaan Akta tersebut,” kata kenyataan itu.

PENGHARGAAN KEPADA SEMUA

KESUMA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pemegang taruh utama atas input, sokongan dan sumbangan mereka sepanjang proses penggubalan undang-undang ini selama dua tahun.

Dewan Negara telah meluluskan
Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 semalam (9 September) sekaligus melakar sejarah baharu dalam melindungi hampir 1.2 juta pekerja gig di Malaysia.

Kelulusan RUU ini juga telah meletakkan noktah kepada era tiada perlindungan undang-undang terhadap golongan pekerja ini.

Sebelum ini, golongan pekerja gig sebagai salah satu teras penting ekonomi negara, tidak dapat mempertahankan hak dan kedudukan mereka disebabkan tiada perlindungan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada termasuk tidak diiktiraf dalam mana-mana akta perburuhan yang berkuat kuasa.

MERUPAKAN HASIL MANDAT

RUU ini merupakan hasil mandat yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada KESUMA pada Mac 2024 bagi merangka mekanisme khas untuk membela hak dan kepentingan pekerja gig di Malaysia.

Sejak itu, hampir 40 sesi libat urus melibatkan lebih 4,000 pemegang taruh dari seluruh negara telah dilaksanakan dengan lebih 500 maklum balas atas talian telah diterima.

Libat urus ini turut melibatkan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak, syarikat platform, persatuan pekerja gig, kesatuan sekerja, akademik dan pertubuhan masyarakat.

Proses penggubalan turut diperkukuh dengan penanda aras antarabangsa dan pembentangan di Pertubuhan Buruh Antarbangsa (International Labour Organization (ILO)) di Geneva, yang mengesahkan kesesuaiannya dengan piawaian global. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *