PMX hargai keberanian UA pantas sahut cabaran tubuh fakulti baharu bidang AI

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
11 SEPT. 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai keberanian universiti awam (UA) yang pantas menyahut cabaran dengan menubuhkan fakulti baharu dalam bidang AI serta mempercepatkan penyelidikan dan latihan.

Beliau berkata ini selari dengan transformasi digital kini menjadi teras perjalanan negara, dengan Malaysia merekodkan pelaburan besar dalam semikonduktor dan E&E.

“Namun, saya juga mengingatkan tentang “productivity paradox”, yakni pelaburan berbilion dalam AI dan digital yang tidak diterjemah kepada produktiviti yang seimbang,” katanya dalam hantaran di FB.

Terdahulu Anwar merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan (ICOSH) 2025 di Putrajaya petang semalam.

MASA DEPAN ILMU

Dalam ucapan beliau soroti tantangan serta masa depan ilmu kemanusiaan dalam era AI dan transformasi digital.

Malah kata beliau jurang digital yang melebar dan membengkak berpotensi menjejaskan cita-cita kita terhadap keadilan sosial, menyebabkan desa dan pedalaman terus ketinggalan.

Justeru tegas Perdana Menteri walau sehebat mana pun teknologi, ia tidak boleh terpisah daripada nilai manusiawi.

SEJARAH DAN AKHLAK

“AI hanya akan adil dan bermanfaat jika berakar pada etika, budaya, sejarah dan akhlak yang selari dengan nilai serta keyakinan kita, supaya yang lahir daripadanya mencerminkan kebenaran, bukan sekadar kepintaran tanpa jiwa,” kata beliau.

“Kecanggihan yang kita kejar tidak boleh menenggelamkan rasa ihsan,” tambah beliau.

Namun kata Perdana Menteri inilah yang terjadi di Gaza hari ini, apabila teknologi canggih dan AI dijadikan senjata untuk mengabsahkan kezaliman, menindas tanpa belas, melanggar kewarasan akal serta melampaui batas kemanusiaan.

“Maka dalam keghairahan kita untuk ‘menggapai di langit,’ jangan sesekali dilupakan tekad untuk ‘mengakar ke bumi,’ berpaut pada nilai, budaya, sejarah, agama dan akhlak,” kata beliau lagi. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *