Program “Seeds of Knowledge” inisiatif Puteri Sulung Raja Muda Perlis dihadiri 800 peserta

Oleh: Sholina Osman
11 SEPT. 2025

Program “Seeds of Knowledge” hari ini membuka tirainya dengan penuh keberkatan melalui majlis ilmu bertemakan “Misi Membawa Keluarga ke Syurga” bersama penceramah bebas dan personaliti dakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun.

Anakanda Puteri Sulung Raja Muda Perlis, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail yang menginisiatifkan majlis ilmu itu berkenan berangkat bagi menyempurnakan perasmiannya.

Bertempat di Dewan Warisan, Kangar, Perlis, program yang berlangsung dari pukul 8 pagi telah dihadiri 800 peserta ini dianjurkan dengan kerjasama Hidayah Center Foundation, IKRAM dan Agensi Agama Islam Perlis.

Turut bersama ialah rakan strategik seperti Rass d’Sign & Event, Mokti’s,
Bubbles02, Wardah, Richiamo Coffee, Good Virtues Co., Ingrace Floral & Event, Hannah Cookies, De’Xandra, Nayumi, dan Fuze Organic Restore Beauty.

SIRI PENGISIAN ILMIAH

Ia menjadi titik permulaan kepada sebuah siri pengisian ilmiah yang dirancang untuk diteruskan pada masa hadapan dengan hasrat menyemai benih ilmu, menyuburkan kefahaman, serta melahirkan masyarakat berdaya saing, berakhlak mulia dan berpaksikan nilai-nilai Islam.

Antara pengisian menarik yang diketengahkan ialah perkongsian mengenai “Pembangunan Perkampungan Al-Hijrah”, ceramah utama Ustazah Asma’ Harun bertajuk “Misi Membawa Keluarga ke Syurga” yang diikuti dengan sesi soal jawab interaktif.

Juga slot santai bersama Pegawai Perubatan di Hospital Tunku Fauziah (HTF) Kangar, Dr. Adibah Abdul Halim yang membicarakan topik “Kepentingan Menjaga Kesihatan dalam Menjamin Keluarga Sakinah Till Jannah”.

Para peserta turut berpeluang menyaksikan tayangan video khas ‘Next Talk bersama pendakwah terkenal, Ustaz Mizi Wahid’.

KEPETAHAN SERTA KETEGASAN

Ustazah Asma’ Harun, yang aktif berdakwah sejak tahun 2010, bukan sahaja dikenali dengan kepetahan serta ketegasan dalam menyampaikan ilmu, malah berpengalaman luas dalam bidang kekeluargaan Islam.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Hal Ehwal Agama Islam di JAKIM dan Penolong Pengarah di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), khususnya dalam bidang Undang-Undang Keluarga Islam.

Dengan pengisian yang menyentuh aspek rohani dan jasmani, program ini diharap dapat menjadi sumber inspirasi serta panduan kepada masyarakat untuk terus membina keluarga yang sejahtera, berlandaskan iman, ilmu dan amal soleh. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *