Pelan Tindakan Nasional WPS perkukuh peranan wanita dalam pembangunan negara – Nurul Izzah

Oleh: Sholina Osman
Foto Google
13 SEPT. 2025

Pelancaran Pelan Tindakan Nasional yang pertama berkenaan Wanita, Keamanan & Keselamatan – Women, Peace and Security (WPS) 2025-2030 adalah langkah penting negara dalam memperkukuh peranan wanita sebagai tonggak utama keamanan, keselamatan, serta pembangunan negara yang inklusif dan mampan.

Pengerusi Eksekutif POLITY Nurul Izzah Anwar berkata Pelan Tindakan Nasional WPS oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang dilancarkan pada 9 September lalu disambut baik oleh POLITY.

“Pelan ini bukan sahaja menegaskan komitmen Malaysia terhadap UNSCR 1325, malah turut membawa mesej bahawa suara, kepimpinan, dan perlindungan wanita adalah teras dalam membina keamanan serta
menjamin pembangunan,” kata beliau dalam kenyataan media.

EMPAT TONGGAK UTAMA

Nurul Izzah berkata empat tonggak utama pelan ini iaitu Perspektif, Pencegahan, Penyertaan dan Perlindungan.

“Keempat-empat tonggak ini menyediakan rangka kerja yang jelas bagi menterjemahkan agenda WPS kepada hasil nyata yang menyentuh kehidupan rakyat biasa,” kata beliau.

Namun, kata Nurul Izzah cabaran sebenar terletak kepada pelaksanaan pelan tindakan ini, kerana usaha membina keamanan tidak boleh sekadar kekal sebagai dasar di atas kertas.

“la mesti dihidupkan dalam isi rumah, kejiranan, dan komuniti. Hanya dengan cara itu kita dapat melindungi masa depan rantau ini daripada konflik, krisis, serta ujian berterusan terhadap keselamatan kita,” tambah beliau.

MENJADI TUMPUAN UTAMA

Seiring dengan itu, kata beliau persoalan-persoalan ini akan menjadi tumpuan utama dalam Persidangan Kepimpinan Wanita Asia Tenggara 2025: Wanita, Keamanan dan Keselamatan (Women, Peace and Security), yang bakal dianjurkan oleh POLITY pada 30 September ini.

Persidangan ini akan menampilkan antara suara-suara serantau seperti Dwi Rubiyanti Kholifah, Prof Tan Sri Jemilah Mahmood, dan Dr Amina Rasul-Bernardo, yang tersenarai sebagai antara 500 tokoh Muslim paling berpengaruh di dunia.

Sehubungan itu kata Nurul Izzaah POLITY berhasrat untuk memasyarakatkan dan mengakar Pelan Tindakan Nasional ini merentasi seluruh komuniti – termasuk merangkul mereka yang kekurangan upaya dan daripada latar belakang yang pelbagai, sama ada warganegara mahupun mereka yang telah kehilangan tempat asal akibat konflik.

“Hanya melalui keterlibatan yang menyeluruh ini, kepimpinan wanita dapat menyumbang ke arah menamatkan konflik, meredakan krisis, dan menghentikan peperangan berunsur genosid,” kata beliau.

Jelas Nurul Izzah, keamanan tidak pernah wujud sebagai jaminan, sebaliknya, ia harus sentiasa dipelihara – dan dalam setiap langkah perjalanan ini, wanita mesti menjadi nadi yang menggerakkannya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *