






Oleh: Sholina Osman
15 SEPT. 2025
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Penanti menandakan pertambahan NADI baharu di Pulau Pinang di bawah inisiatif “1 DUN 1 NADI”.
Kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan di bawah inisiatif ini, sebanyak 39 buah NADI baharu telah dibangunkan oleh Kementerian Komunikasi menerusi MCMC di Pulau Pinang, selain tiga NADI sedia ada.
Sekaligus ia menjadikan jumlah keseluruhannya 42 buah NADI di seluruh negeri untuk manfaat rakyat.
Hingga Mei 2025, NADI di Pulau Pinang telah berjaya menarik seramai 10,827 ahli serta mencatatkan 17,743 penyertaan dalam pelbagai aktiviti perkhidmatan pintar.
Angka ini menunjukkan sambutan yang amat menggalakkan daripada rakyat negeri ini terhadap usaha kerajaan melalui NADI.
PENYAMPAIAN SURAT PELANTIKAN
Fahmi turut menyaksikan penyampaian surat pelantikan kepada 13 Pengerusi Panel Penasihat NADI bagi setiap kawasan Parlimen di Pulau Pinang.
Pengerusi Panel Penasihat NADI yang dilantik berperanan dalam memastikan pengurusan dan operasi NADI dapat dipantau dengan lebih tersusun, seterusnya menjamin manfaat jangka panjang kepada komuniti.
Program ini turut dimeriahkan dengan Hari Bersama Komuniti (HBK) yang menghimpunkan pelbagai aktiviti perkhidmatan pintar, pameran dan jualan usahawan NADI, pertandingan NADI e-Sukan MADANI Legend serta kerjasama agensi kerajaan.
Inisiatif ini mencerminkan peranan NADI sebagai hab perpaduan digital dan sosial di peringkat akar umbi.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali. – JM
