






Oleh Wartawan JM
15 SEPT. 2025
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berhasrat membina kerjasama strategik dalam bidang teknologi pertahanan, penyelidikan bersama serta pembangunan sumber manusia berkemahiran tinggi dengan industri pertahanan di Indonesia.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniMAP bertitah, universiti itu komited melahirkan graduan berwawasan global, berintegriti dan berdaya saing dalam sektor kejuruteraan, teknologi serta industri berimpak tinggi.
“Justeru, peluang kolaborasi dengan industri pertahanan amat berharga, khususnya dalam pemindahan teknologi, program latihan industri pelajar, pembangunan penyelidikan serta peluang inovasi bersama,” titah baginda.
PERTAHANAN DAN PEMBUATAN
Baginda bertitah demikian semasa melawat PT Pindad, syarikat pertahanan dan pembuatan utama Indonesia yang menghasilkan alat utama sistem senjata seperti senjata api, peluru serta produk komersial termasuk kenderaan tempur, di Bandung, Indonesia.
Lawatan sempena International Leadership Mobility 2025 itu turut disertai Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, yang juga Pro-Canselor UniMAP.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah kunjungan itu signifikan kerana membuka ruang memperkukuh kerjasama antara tiga pihak utama iaitu Malaysia khususnya Perlis, Indonesia melalui PT Pindad, serta dunia akademia yang diwakili UniMAP.
HUBUNGAN YANG DIBINA
“Menjadi harapan saya agar hubungan yang dibina ini bukan sahaja memberi manfaat kepada universiti dan industri, malah dapat menyumbang kepada usaha memperkukuh pertahanan dan keselamatan serantau, seiring matlamat ASEAN dalam membina kestabilan dan kemajuan bersama.
“PT Pindad merupakan lambang kecemerlangan Indonesia dalam bidang pertahanan, teknologi ketenteraan dan inovasi industri yang membanggakan,” titah baginda.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP Prof Ir Dr Mohd Shukry Abdul Majid berkata universiti itu mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dengan PT Pindad, selain mempelawa warga syarikat berkenaan melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana (S2) dan Doktor Falsafah (S3).
“Kami di UniMAP mempunyai kapasiti menawarkan peluang melanjutkan pengajian di peringkat S2 dan S3 serta peluang kolaborasi penyelidikan yang boleh menghasilkan penerbitan bersama,” katanya.
Menurut beliau, pengajian di UniMAP meliputi pelbagai bidang berkaitan seperti Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Bahan, Kejuruteraan Polimer, Kejuruteraan Elektronik serta kecerdasan buatan (AI). – JM
