Ikhtiar bangunkan kota MADANI, Smart City KL tekad bersaing bidang ekonomi, inovasi – PMX

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
18 SEPT. 2025

Ikhtiar membangun Kota MADANI dan Smart City Kuala Lumpur adalah tekad untuk Malaysia dapat bersaing di bidang ekonomi dan inovasi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata di samping itu untuk menegak keadilan sosial, kelestarian alam, serta maruah nasional.

“Justeru, kita mesti membangun kota yang canggih secara teknologi tetapi kekal mengakar pada jati diri, nilai dan warisan khazanah bangsa,” kata beliau dalam hantaran di FB.

Terdahulu Anwar merasmikan Smart City Expo Kuala Lumpur (SCEKL) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

GAGASAN MASA DEPAN

Beliau berkata transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI) adalah gagasan masa depan, dan merupakan suatu realiti yang sedang kita rintis bersama.

“Kota pintar berlandaskan prinsip-prinsip MADANI adalah wahana bagi memperkasa rakyat, memperluas akses kepada peluang-peluang yang ada, serta memastikan setiap warga merasa dan menikmati manfaat dari kemajuan teknologi,” kata beliau.

Namun, kata Perdana Menteri kota yang benar-benar pintar tidak hanya berlandaskan teknologi semata, tetapi mesti menjadi ruang hidup yang inklusif, lestari dan berbudaya.

Anwar berkata Ibnu Khaldun dalam ‘Muqaddimah’ menegaskan melalui teori Umran Hadari bahawa kota adalah pusat atau pangkalan tamadun, sementara novelis dan pemikir Amerika Syarikat Mark Twain mengingatkan bahawa sebuah kota tidak seharusnya menjadi “hutan konkrit yang tandus budaya”.

“Justeru, kita mesti membangun kota yang canggih secara teknologi tetapi kekal mengakar pada jati diri, nilai dan warisan khazanah bangsa,” jelas beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *