UniMAP alu-alukan sebarang bentuk kerjasama dengan universiti di Indonesia – Raja Muda Perlis

Wartawan JM
18 SEPT 2025

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) amat mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dengan universiti-universiti di Indonesia dan juga di seluruh dunia yang dapat memberikan manfaat bersama.

Negeri Perlis secara amnya juga, amat berpegang kepada visi besar dalam pendidikan.

UniMAP sebagai universiti teknikal negara di Perlis membawa amanah untuk menjalin kerjasama antarabangsa demi melahirkan generasi pelajar yang mampu bersaing di peringkat dunia.

MANFAATKANLAH SEBARANG PELUANG

Kepada semua mahasiswa universiti, manfaatkanlah sebarang peluang kolaborasi yang terjalin. Gunakanlah ruang jaringan antarabangsa untuk memperluas pandangan, memperkasa kemahiran, dan memperkukuh sahsiah.

Jadilah generasi yang bukan sahaja berpengetahuan tinggi, tetapi juga menjunjung nilai kejujuran, amanah, disiplin, serta cinta kepada bangsa dan negara.

Ini adalah kerana universiti bukan sekadar medan menuntut ilmu, tetapi menjadi jambatan penghubung antara bangsa.

Hubungan erat antara UniMAP dengan universiti-universiti luar yang lain boleh memperkasa jaringan akademik serantau, serta membantu melahirkan graduan yang lebih bersedia menghadapi cabaran dunia global.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat melancarkan Promosi Masakan Perlis berupa ‘Kurma Daging Perlis’ yang diadakan di Restoran Sindang Reret, Bandung, Indonesia baru-baru ini.

DILAKSANAKAN OLEH PIHAK

Program ini dilaksanakan oleh pihak restoran dengan kerjasama UniMAP, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan BMC Travel Sdn Bhd mengambil sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2026.

Keberangkatan tiba baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil diiringi delegasi International Leadership Mobility 2025 UniMAP disambut telah oleh Pengurus Restoran, Erry Yoga Prakesa.

Restoran yang beroperasi di 4 cawangan iaitu Ciwidey, Cikole Lembang, Surapati dan Karawang ini telah beroperasi selama 52 tahun iaitu sejak 1973 di lokasi dua tingkat itu boleh memuatkan 300 orang pelanggan.

Ia menyajikan masakan Nusantara, dengan pilihan buffet ada “serving” yang dibuka setiap hari mulai pukul 10 pagi hingga 10 malam. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *