








Oleh: Sholina Osman
18 SEPT. 2025
International Leadership Mobility 2025 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ke Bandung dan Jakarta, Indonesia diharap dapat membuka lebih banyak ruang kerjasama akademik antara UniMAP dan universiti-universiti dan pihak industri di Indonesia.
Khususnya dalam aspek pertukaran pelajar dan pensyarah, penyelidikan bersama dalam bidang pembangunan masyarakat, teknologi dan inovasi.
Selain itu, program latihan kepimpinan pelajar berteraskan nilai Islam dan kemanusiaan, serta usaha-usaha pemerkasaan sosial yang dapat memberi manfaat kepada komuniti di kedua-dua negara.
Adalah diyakini, kolaborasi-kolaborasi lama dan baru akan memperkukuh ukhuwah ilmu dan pada masa yang sama menjadi jambatan untuk mengangkat martabat ummah di rantau ASEAN.
LOKASI YANG DIKUNJUNGI
Sesungguhnya, kehangatan persaudaraan yang ditunjukkan di setiap lokasi yang dikunjungi amat dihargai dan menggambarkan eratnya hubungan Malaysia dan Indonesia sebagai bangsa serumpun.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat melancarkan Promosi Masakan Perlis berupa ‘Kurma Daging Perlis’ yang diadakan di Hotel Pullman Bandung, Indonesia baru-baru ini.
Program ini dilaksanakan oleh pihak hotel bertaraf lima bintang dan telah beroperasi sejak 2021 dengan kerjasama UniMAP, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan BMC Travel mengambil sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2026.
Tuanku Syed Faizuddin Putra berangkat bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan diiringi sama delegasi International Leadership Mobility 2025 UniMAP disambut oleh Chef Eksekutif Hotel, Yudhistira Angga Tirta. – JM
