



CYBERJAYA, 23 September β Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menganjurkan Forum βForum Kesedaran Antirasuah dan Hari Integriti Pembekal MCMC 2025β bertempat di Cyberview Resort & Spa.
Forum ini mengumpulkan 170 peserta yang terdiri daripada 30 pembekal berdaftar di bawah SKMM yang terlibat secara langsung dalam perolehan kerajaan, tender,dan proses kewangan. Forum yang dibarisi oleh Dr. Muhammad Shamshinor Abdul Aziz, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial Universiti Malaya; Tuan KPKPj Samsul Salip, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat dan Tuan Mohd Rais Ramli, Pengarah Pusat Integriti Sektor Perniagaan. Forum Kesedaran Antirasuah dan Hari Integriti Pembekal MCMC 2025 ini telah dimoderatorkan oleh Puan Nurhayati Nordin, Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Buster merupakan satu platform yang inklusif dan berimpak tinggi.
Tuan Syahrilazli Mahammad, Ketua Pegawai Korporat dan Antarabangsa MCMC dalam ucapannya menegaskan bahawa penganjuran forum ini merupakan bukti jelas komitmen SKMM dan pembekal berdaftar untuk menolak sebarang bentuk jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.
Turut diadakan Majlis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah yang diketuai Ketua Pegawai Korporat dan Antarabangsa SKMM, Tuan Syahrilazli Mahammad, dengan disaksikan Tuan KPKPJ Samsul Salip. Lafaz ini adalah penzahiran komitmen semua pihak dalam mengangkat integriti sebagai budaya kerja, sekali gus memperkukuh ekosistem industri komunikasi dan multimedia yang lebih telus, berintegriti dan berdaya tahan.
SKMM adalah agensi kawal selia industri komunikasi dan multimedia, syarikat telekomunikasi, penyiaran, dan perkhidmatan internet di Malaysia selain menguatkuasakan undang-undang berkaitan penggunaan rangkaian, termasuk isu-isu seperti buli siber dan keselamatan siber.
