

Oleh: Sholina Osman
25 SEPT. 2025
Lebih 400 peserta hadir pada Persidangan Penyiaran 5G (5G Broadcast Conference) anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selama sehari di Kompleks Perbadanan Putrajaya.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil telah merasmikan persidangan ini yang merupakan lanjutan kepada Kajian Teknologi Penyiaran Masa Hadapan yang telah dijalankan oleh MCMC sejak tahun 2023.
Kenyataan media Komunikasi Korporat MCMC memaklumkan ia
memfokuskan kepada potensi teknologi baharu seperti Penyiaran 5G dalam memperkasa industri
penyiaran tempatan, termasuk siaran TV, radio dan penstriman digital.
“Hasil kajian menunjukkan potensi besar dalam mengoptimumkan infrastruktur penyiaran serta
membuka laluan kepada model perkhidmatan baharu yang lebih mampan,” kata kenyataan itu lagi.
DEMOSTRASI DAN UJIAN
Persidangan ini disokong oleh beberapa rakan teknologi yang memainkan peranan penting dalam demonstrasi dan ujian teknikal, termasuk Rohde & Schwarz Malaysia
Sdn. Bhd., Xiaomi Technologies (M) Sdn. Bhd., Qualcomm Technologies, Inc., Harmonic Inc., Spacelabs Technology Sdn. Bhd. dan Cedar Broadcast & Communications (M) Sdn. Bhd..
Kerjasama ini membolehkan pelaksanaan simulasi secara langsung dan membantu memperlihatkan kebolehlaksanaan sebenar teknologi 5G Broadcast dalam konteks industri tempatan.
Selain itu, sesi pembentangan oleh pakar tempatan dan antarabangsa turut diadakan bagi perkongsian pandangan mengenai trend global, cabaran pelaksanaan serta
strategi penyesuaian dasar berkaitan teknologi penyiaran baharu.
Sesi ini menjadi platform penting untuk merapatkan kerjasama antara pihak industri, kerajaan dan
penyelidik dalam membentuk ekosistem penyiaran digital negara yang lebih mampan dan futuristik.
Malaysia kini berada di barisan hadapan dalam menerajui penerokaan teknologi 5G Broadcast di rantau ASEAN melalui pelaksanaan kajian dan pengujian menyeluruh
terhadap teknologi ini, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memacu kemajuan teknologi penyiaran di masa hadapan. – JM
