Zon Maritim Kuala Perlis gagalkan cubaan seludup 875 liter minyak diesel

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan Zon Maritim Kuala Perlis
29 SEPT. 2025

 
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis telah berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan bahan api bersubsidi dalam satu operasi penguatkuasaan di kedudukan 0.01 batu nautika dari barat Kampung Tengah, Perlis, malam tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Nak Rong a/l Si Prom memaklumkan, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan dalam Operasi Aman (OP AMAN) dan Operasi Tiris 3.0 (OP TIRIS 3.0) menerima maklumat risikan sebelum mengesan sebuah sampan kayu dalam keadaan mencurigakan.
 
Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati, sampan tanpa nombor pendaftaran terbabit yang dipercayai berpengkalan di negara jiran itu ditinggalkan tanpa pemilik.

Setelah diperiksa, dianggarkan lebih 875 liter minyak diesel iaitu 35 tong minyak yang dianggarkan 25 liter setiap tong telah dijumpai.  

MENYIMPAN BARANG KAWALAN
 
Kes akan disiasat di bawah Seksyen 29, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan tanpa dokumen yang sah.
 
 Jelas beliau lagi, kesemua hasil rampasan yang dianggarkan hampir RM20 ribu itu dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
 
Tambah Nak Rong, rampasan yang dilakukan ini membuktikan pihak Maritim Malaysia khususnya Zon Maritim Kuala Perlis sentiasa komited membanteras aktiviti penyeludupn bahan api bersubsidi yang menjejaskan hasil negara.
 
Maritim Malaysia meminta kerjasama daripada orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *