PMX santuni warga ATM di MAWILLA 2, Sandakan

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
28 SEPT. 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2), Sandakan.

Dalam ucapan ringkas, beliau merakamkan penghargaan kepada para pegawai dan anggota ATM yang sentiasa menjadi benteng utama mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.

“Jasa, pengorbanan, kalian adalah tiang seri pertiwi yang tidak ternilai, dan akan sentiasa terpahat dalam ingatan bangsa,” kata beliau dalam hantaran di FB.

Beliau tegaskan bahawa Kerajaan MADANI tidak akan sekali-kali mengabaikan kebajikan para anggota.

USAHA TERUS DIPERGIAT

Malah kata beliau usaha terus dipergiat untuk mempercepatkan pelaksanaan projek infrastruktur, termasuk Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan pembinaan jeti baharu di Pangkalan TLDM Sandakan, demi keselesaan serta kesejahteraan anggota dan keluarga.

Dalam masa yang sama, kata beliau kerajaan juga akan memastikan aset-aset pertahanan diperkukuh serta diperlengkap dengan teknologi terkini, supaya ATM kekal ampuh menghadapi cabaran keselamatan serantau dan global.

“Saya menyeru semua pegawai dan anggota agar memperkukuh penguasaan teknologi baharu selain memperluas kerjasama dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi warga ATM dan keluarga,” kata beliau.

Beliau turut menitipkan nasihat kepada Kementerian Pertahanan supaya memastikan setiap perbelanjaan dilakukan dengan penuh telus, berhemah, dan bebas daripada ketirisan.

“Kekuatan pertahanan negara bukan hanya terletak pada aset dan anggota, tetapi turut bergantung pada integriti pengurusan,” tambah beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *