






Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
28 SEPT. 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakhiri urusan di Sandakan dengan mengadakan Jelajah Wira MADANI dan Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“Tabik saya kepada seluruh warga APMM yang sentiasa menjadi benteng utama keselamatan maritim negara. Keberanian, disiplin, dan pengorbanan kalian amat besar ertinya kepada negara,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Beliau berkata Kerajaan MADANI akan terus berdiri teguh bersama APMM.
Justeru, kata beliau pelbagai inisiatif sedang dan akan dilaksanakan daripada memperkukuh aset, meningkatkan latihan, sehinggalah menambah baik kebajikan anggota agar agensi ini terus gagah, dihormati dan berdaya saing dalam mendepani cabaran semasa.
ASPEK PERTAHANAN NEGARA
“Insya-Allah, melalui Belanjawan 2026, aspek pertahanan negara meliputi pelbagai agensi termasuk APMM akan terus diberikan perhatian sewajarnya supaya kesiapsiagaan pertahanan negara berada pada tahap terbaik,” tambah beliau.
Pada masa yang sama, beliau turut tegaskan bahawa pembangunan Sabah mesti dipacu dengan lebih pesat dan menyeluruh.
Beliau menjelaskan antara yang diberi keutamaan ialah pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo, penambahbaikan bekalan air, peningkatan fasiliti kesihatan serta infrastruktur asas lain.
Perdana Menteri berkata semua ini penting untuk merapatkan jurang pembangunan dengan Semenanjung, seterusnya memastikan rakyat Sabah menikmati kemudahan yang lebih baik, selesa dan berkualiti.
“Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Negeri akan terus berganding bahu kerana kesejahteraan rakyat Sabah adalah keutamaan yang tidak boleh ditangguhkan lagi,” tambah beliau. – JM
