Raja Muda Perlis santuni penghuni Yayasan Penyantunan Anak Yatim Piatu Aceh Sepakat Darul Aitam

Oleh: Sholina Osman
29 SEPT 2025

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyantuni para penghuni di Yayasan Penyantunan Anak Yatim Piatu Aceh Sepakat Darul Aitam yang terletak di Kelurahan Sukaramai I, Kecamatan Medan Area, Kota Medan, Sumatera Utara, Indonesia.

Keberangkatan tiba Baginda ke salah satu program sampingan bagi Persidangan Antarabangsa International Conference on Holistic Opportunities For Poverty Empowerment (ICOHOPE) 2025 anjuran Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) dan
disambut oleh Ketua Yayasan berkenaan, Haji Mohd Lidan, serta Wakil Rektor 1 Universitas Deztron Indonesia, Assoc. Prof. Dr. H. Yohny Anwar.

Yayasan berkenaan berperanan penting dalam memastikan anak-anak yatim mendapat akses pendidikan formal sehingga ke peringkat menengah, dengan matlamat melahirkan generasi berilmu dan berakhlak mulia yang kelak mampu menyumbang kepada bangsa dan negara.

KOMITED MEMBERIKAN PERLINDUNGAN

Selain itu, yayasan ini juga komited memberikan perlindungan serta perhatian bukan sahaja kepada anak yatim, tetapi turut merangkumi anak-anak terlantar di Kota Medan.

Dalam ucapan alu-aluannya, Haji Mohd Lidan menzahirkan rasa syukur atas perhatian dan sokongan yang diberikan.

Beliau menegaskan bahawa bantuan yang disalurkan menjadi suntikan semangat kepada anak-anak asuhan untuk terus beribadah, menimba ilmu, dan seterusnya melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat universiti.

Pada majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs berjumlah RM5,000 untuk diagihkan kepada 50 orang anak yatim, serta RM2,500 kepada 25 pelajar dari Universitas Deztron Indonesia (UDI) dari kalangan keluarga yang memerlukan.

Yayasan tersebut turut menerima sumbangan Fi Sabilillah MAIPs berjumlah RM2,000 yang disempurnakan sendiri penyerahan oleh Tuanku Raja Muda Perlis. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *