
Wartawan JM
2 OKT. 2025
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menggesa semua stesen televisyen dan radio di seluruh negara untuk menyiarkan bacaan doa Qunut Nazilah dalam slot-slot siaran utama.
Beliau berkata ini susulan tindakan rejim Zionis Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa dengan memintas serta menahan pasukan Global Sumud Flotilla (GSF).
Jelas beliau doa dan solidariti rakyat Malaysia amat penting dalam menghadapi saat getir ini.
“Saya juga telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mempertingkat pemantauan terhadap segala kandungan berkaitan konflik ini di ruang siber Malaysia,” kata beliau dalam kenyataan media.
SEGERA AKAN DILAKSANAKAN
Fahmi berkata tindakan tegas dan segera akan dilaksanakan terhadap sebarang cubaan untuk menyebarkan propaganda Zionis atau naratif yang bersifat hasutan, serta menjejaskan keharmonian dan sensitiviti awam.
“Saya juga menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk merujuk maklumat yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri dan sumber-sumber rasmi, termasuk saluran rasmi Sumud Nusantara Command Centre yang dikendalikan oleh MAPIM, bagi mengelakkan penyebaran berita palsu atau tidak sahih,” kata beliau. – JM
