GSF: Semua masjid, surau di bawah JAKIM, JAWI diarah Solat Hajat, Qunut Nazilah

Wartawan JM
2 OKT. 2025

Semua masjid dan surau di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) diarah mengadakan Solat Hajat dan Qunut Nazilah pada hari ini (selepas Solat Maghrib) dan esok, 3 Oktober (selepas Solat Jumaat).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengumumkan demikian ekoran tindakan biadap rejim Israel yang telah memintas dan menghalang Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, Palestin, serta bertindak kasar terhadap para aktivis kemanusiaan.

“Adalah jelas kekejaman dan kezaliman Zionis terus terbukti di mata dunia apabila sekumpulan orang awam tanpa bersenjata, berlayar untuk menghantar bantuan kemanusiaan, tetap ditahan,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.

BERKAITAN ISU PALESTIN

Beliau meminta semua masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan akan membaca Khutbah Jumaat Khas berkaitan isu Palestin esok.

“Saya turut mengesyorkan kepada semua Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri agar masjid dan surau Jumaat di bawah pentadbiran masing-masing turut mengambil langkah yang sama,” kata beliau.

​Ayuh seluruh rakyat Malaysia! Kita gabungkan doa kita.

Terus mendoakan keselamatan dan perlindungan kepada seluruh pasukan Global Sumud Flotilla, terutama sekali rakyat Malaysia yang terlibat dan ditahan, agar mereka dapat dibebaskan dengan selamat.

Pada masa yang sama, marilah kita terus mendoakan kesejahteraan dan perlindungan kepada rakyat Palestin. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *