



Wartawan JM
Foto Ihsan UniMAP
4 OKT. 2025
Dalam usaha menyuntik semangat kesukarelawanan dan keprihatinan terhadap masyarakat, sebanyak 20 pelajar baharu Tahun Satu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turun padang bagi membantu mangsa banjir kilat di Pokok Sena, Kedah, semalam.
Misi bantuan itu dilaksanakan di kediaman yang terjejas akibat banjir kilat yang melanda kawasan berkenaan.
Meskipun baru beberapa minggu memulakan kehidupan sebagai mahasiswa, semangat pelajar-pelajar ini terserlah apabila mereka tampil secara sukarela membantu membersihkan rumah serta mengangkat barangan yang rosak akibat bencana tersebut.
Pasukan sukarelawan ini turut disertai oleh beberapa anggota Askar Wataniah UniMAP, yang bukan sahaja menyumbang tenaga fizikal, malah menunjukkan disiplin, semangat setiakawan dan kerjasama yang tinggi sepanjang misi berlangsung.
PENGLIBATAN AWAL PELAJAR
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UniMAP, Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah, berkata penglibatan awal pelajar baharu dalam misi kemanusiaan seumpama ini merupakan pendekatan holistik universiti dalam membentuk graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga memiliki empati dan nilai kemanusiaan yang tinggi.
“Kita mahu pelajar UniMAP membina keperibadian yang seimbang iaitu berilmu, berdisiplin dan prihatin terhadap masyarakat.
“Pengalaman sebegini membuka ruang kepada mereka untuk memahami realiti kehidupan di luar kampus serta menghayati peranan sebagai mahasiswa yang berbakti,” katanya dalam kenyataan media.
Tambah beliau, penyertaan dalam aktiviti kesukarelawanan ini juga dapat memupuk nilai kepimpinan, kerjasama dan semangat kekitaan dalam kalangan pelajar, yang menjadi asas penting dalam pembentukan karakter mahasiswa unggul.
MISI BANTUAN BANJIR
Sementara itu, salah seorang Mohamad Adrin Hafiz Jasni dari Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Mekanikal (FKTM) penyertaan dalam misi bantuan banjir itu merupakan pengalaman berharga yang tidak akan dilupakan.
“Saya rasa sangat seronok dan bersyukur dapat sertai misi seperti ini walaupun masih baharu di UniMAP: Selain dapat membantu mangsa banjir, saya juga belajar nilai kerjasama dan empati.
Walaupun penat, kepuasan tu datang bila kita nampak senyuman di wajah mereka yang kita bantu,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan.
Melalui inisiatif berkenaan, UniMAP terus memperkukuh peranannya sebagai universiti yang mendekati masyarakat, bukan hanya menumpukan kepada kecemerlangan akademik, tetapi turut berfungsi sebagai agen pembangunan sosial dan kemanusiaan dalam komuniti. – JM
