Lebih 1,000 pengunjung meriahkan Sambutan Hari Kanak-Kanak Perlis anjuran CHILD

Oleh: Sholina Osman
5 OKT. 2025

Lebih seribu pengunjung yang terdiri daripada kanak-kanak, ibu bapa, guru serta penggiat industri berkaitan kanak-kanak hadir memeriahkan ‘Sambutan Hari Kanak-Kanak Perlis 2025’ anjuran Children’s Industry Lifelong Learning and Development Hub (CHILD) dengan kerjasama rakan strategik dan pelbagai pihak berkepentingan.

Acara ini berlangsung di Kompleks STAR, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Kampus Arau.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyempurnakan majlis yang bertemakan “Bersama Anak, Membina Masa Depan”.

Keberangkatan baginda berdua disambut oleh Pengerusi CHILD, Khalimahtul Idereena Lim.

RUANG KEPADA KELUARGA

Penganjuran ‘SD28’s Arau CHILD’ ini bukan sahaja meraikan kanak-kanak di negeri ini, tetapi turut menyediakan ruang kepada keluarga, pendidik dan masyarakat untuk bersama-sama menghayati kepentingan melindungi, mendidik serta mengembangkan potensi generasi muda.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan bagi memupuk kreativiti, keyakinan diri dan hubungan kekeluargaan, antaranya Pertandingan Melukis, Pertandingan Bercerita, Pertandingan Memasak serta Pertandingan Membina Bersama Bongkah yang menggalakkan kerjasama erat antara kanak-kanak dan ahli keluarga.

Selain itu, turut diadakan Pertandingan Kulinari Khas untuk individu dewasa serta pengusaha makanan dan minuman dengan cabaran menyediakan hidangan sihat dan mesra kanak-kanak berusia tiga hingga lapan tahun. Inisiatif ini diharap dapat mendorong amalan pemakanan sihat dalam kalangan keluarga sejak usia awal.

MENJADI PLATFORM PENTING

Sambutan Hari Kanak-Kanak Perlis 2025 menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak, kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak.

Ia sekali gus menzahirkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memastikan golongan ini dilindungi, diberi peluang yang saksama serta disediakan persekitaran kondusif untuk mereka membesar sebagai generasi masa depan negara.

Penglibatan menyeluruh daripada pelbagai lapisan masyarakat menjadikan sambutan ini bukan sahaja memberikan pengalaman bermakna kepada kanak-kanak, malah memperkukuh semangat kebersamaan, kasih sayang dan tanggungjawab kolektif terhadap generasi pewaris bangsa. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *