Lebih 2,000 peserta meriahkan Sukan Bendang 2025

Oleh: Sholina Osman
5 OKT. 2025

Lebih 2,000 peserta yang terdiri daripada penduduk tempatan serta para pelajar institusi pengajian tinggi memeriahkan Sukan Bendang 2025 yang berlangsung di Kampung Alor Setar, Pauh.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan berangkat bagi menyempurnakan pelancaran acara tersebut yang turut menjadi antara tarikan menarik sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2026.

Keberangkatan tiba Tuanku Raja Muda disambut oleh Pengerusi Mimbar Permaufakatan IbuBapa Malaysia (MAPIM) Negeri Perlis, Rozieana Ahmad.

MAPIM NEGERI PERLIS

Sukan Bendang 2025 ini dianjurkan oleh MAPIM Negeri Perlis dengan kerjasama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Negeri Perlis serta beberapa rakan strategik lain.

Sukan tradisi yang dianjurkan setiap tahun selepas musim menuai padi ini berperanan sebagai wadah penting dalam memperkukuh semangat perpaduan, saling menghormati serta kerjasama dalam kalangan masyarakat.

Antara acara menarik yang dipertandingkan termasuk kayuh gerek atas titi, lumba lari dalam bendang, serkap ikan, meniti papan licin, tarik upih, sorong kawan atas titi serta tarik tali dalam bendang. Turut diadakan ialah pertandingan bola tampar dan bola jaring.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian serta berangkat melawat reruai pameran yang disertai pelbagai agensi kerajaan dan swasta. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *