



Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
9 OKT. 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirakn rasa bangga dengan perjuangan serta pengorbanan 23 aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan
Global Sumud Flotilla (GSF).
Beliau berkata misi kemanusiaan untuk memberikan bantuan kepada rakyat Gaza itu telah mencipta sejarah negara tersendiri apabila anak Malaysia terdiri daripada pelbagai rakyat berani mengharungi cabaran besar demi solidariti sejagat.
Selaku Penaung Sumud Nusantara beliau turut menghormati semangat dan keberanian peserta GSF yang sanggup meninggalkan keluarga demi perjuangan kemanusiaan, walaupun berdepan dengan risiko yang tinggi.
“Ini bukan melawat Paris, ini nak pergi ke Gaza yang dikuasai Israel. Saya sebagai seorang bapa, tentunya risau kerana saya tahu mereka cari susah.
“Tetapi, saya hormat mereka kerana anak-anak ini mencipta sejarah. Mereka bukan sekadar berbicara, tetapi melangkah dalam jihad sebenar,” kata beliau pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi.
Perdana Menteri berkata pelayaran misi GSF itu turut mendapat perhatian dunia apabila keberanian para peserta termasuk wakil Malaysia, menjadi simbol keteguhan dan solidariti rakyat sejagat terhadap perjuangan Palestin.
Anwar juga membidas dakwaan segelintir pihak yang memperlekehkan perjuangan peserta GSF dengan menuduh mereka mempunyai niat atau agenda tertentu.
“Saya salute (tabik) mereka sebab saya kalau nak pergi pun tak mudah juga. Mereka pergi, tetapi ada yang cakap niat dia mungkin tak baik, nak popular, nak popularkan pondok dia – manusia jenis manusia jenis apa ini?
“Kamu tak berani pergi. (Jadi, apabila orang (lain) pergi, kamu doakanlah. Itu yang mampu kita buat,” kata beliau sambil menambah semangat para aktivis itu jauh lebih bermakna berbanding mereka yang hanya pandai berbicara tanpa berbuat apa-apa untuk membantu perjuangan rakyat Palestin. – JM
