Mahasiswa UUM KL Santuni Masyarakat Orang Asal Bukit Tadom – Bukti Ilmu Tidak Terbatas di Kelas

BANTING, 4 Oktober 2025 – Suasana perkampungan Orang Asal di Bukit Tadom, Banting pada pagi Sabtu lalu bertukar meriah apabila seramai 39 pelajar Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UUM KL) yang mengikuti Program Pengajian Jarak Jauh (PJJ) telah menganjurkan sebuah Program Khidmat Masyarakat bersama komuniti tempatan.

Program ini merupakan sebahagian daripada komponen kursus VKMB 2041 Pembangunan Masyarakat IV, namun semangat yang dibawa jelas menunjukkan bahawa pelajar dewasa ini mengangkat tanggungjawab sosial mereka jauh melebihi tuntutan akademik.

Bertemakan “Komuniti Sejahtera, Mahasiswa Prihatin”, penganjuran program ini bertujuan untuk membina jaringan komunikasi dan kefahaman budaya antara mahasiswa dan masyarakat Orang Asal melalui pelbagai pendekatan interaktif. Para pelajar mendekati komuniti dengan penuh hormat dan rendah diri, sambil menyampaikan mesej-mesej penting berkaitan kesihatan, keselamatan, dan nilai perpaduan.

Lebih membanggakan, program ini berjaya menyatukan kerjasama pelbagai agensi luar seperti Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Banting, Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Banting. Turut memberikan sokongan padu ialah pihak korporat seperti Ronald McDonald House Charities (RMHC) Malaysia dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), yang telah menyediakan 250 Bakul MADANI untuk diagihkan kepada setiap ketua keluarga.

Antara aktiviti menarik yang dijalankan termasuk sukaneka komuniti, pertandingan kreatif, pemeriksaan kesihatan percuma, demonstrasi keselamatan, ceramah motivasi dan persembahan kebudayaan, yang semuanya berlangsung dalam suasana penuh harmoni dan mesra rakyat.

Program ini memberi ruang kepada pelajar UUM KL untuk menzahirkan nilai-nilai murni seperti empati, kepimpinan, kerjasama dan semangat kesukarelawanan, bukan sekadar belajar tentang pembangunan masyarakat dalam teori, tetapi mengaplikasikannya secara langsung di lapangan.

Bagi komuniti Orang Asal, kehadiran mahasiswa dan agensi luar ini memberi impak positif dari segi pendedahan kepada perkhidmatan kesihatan, keselamatan dan peluang sosial yang jarang diperoleh dalam kehidupan seharian mereka.

Majlis penutup yang disempurnakan oleh wakil rasmi kepada Y.B. Tuan Papparaidu A/L Veraman iaitu Ahli Majlis zon 21 Ybrs Puan Nur Zairina Binti Muzaini, turut menyaksikan nyalaan obor sebagai simbolik perpaduan, penyampaian sumbangan, serta persembahan budaya oleh anak-anak Orang Asal, suatu momen menyentuh hati yang mencerminkan semangat Malaysia Madani.

Turut memeriahkan program Prof Madya Dr Abdul Aziz bin Othman, Timbalan Pengarah PACE , Penasihat Program, Pn Nor Alwani Abd Wahab dan Pengarah Program Zahid Bin Ab Aziz. Program berakhir dengan penuh kenangan dan semangat baharu, bukan sahaja kepada komuniti yang disantuni, tetapi juga kepada setiap pelajar yang menyertainya.

“Pengalaman ini mengajar kami erti sebenar pembangunan masyarakat ia bermula dengan hati dan tindakan kecil yang membawa perubahan besar,” kata salah seorang peserta program.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *