TMM2026: Malaysia tekad tarik 47 juta pelawat, jana pendapatan RM329 bilion

Oleh: Sholina Osman
11 OKT. 2025

Malaysia bertekad menarik 47 juta pelawat dan menjana
pendapatan pelancongan RM329 bilion sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia suatu anjakan yang
menjanjikan limpahan ekonomi kepada peniaga kecil, usahawan
pelancongan, komuniti desa, pengusaha kraf serta rakyat
seluruhnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Melaka dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya atas kejayaan Peluncuran TMM 2026 di Melaka bulan lalu.

“Tahun hadapan tentunya istimewa, kerana kita menyambut dunia untuk berkunjung ke Malaysia—menghayati
keindahan alam yang mempesona, menyelami kerencaman budaya
yang tiada tara, merasai aneka juadah memikat selera, sambil
disantuni layanan mesra rakyat Malaysia,” kata Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat.

MERANCAKKAN SEKTOR PELANCONGAN

Anwar berkata lebih RM700 juta disediakan bagi merancakkan sektor pelancongan di negara ini.

“RM500 juta adalah untuk menjayakan Kempen Tahun
Melawat Malaysia 2026,” kata beliau.

Sementara RM60 juta pula kata beliau untuk dana galakan promosi, pemasaran dan penganjuran acara pelancongan serta aktiviti kebudayaan.

Beliau berkata RM50 juta untuk menyokong pengusaha seni dan
warisan menjana pendapatan seperti penggiat karya kraf, batik dan tenunan.

MENGGALAKKAN PENERBANGAN ANTARABANGSA

“RM50 juta geran padanan menggalakkan penerbangan
antarabangsa dan carter ke Malaysia,” tambah beliau.

Beliau berkata Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berjaya
menarik 10 syarikat antarabangsa ke Malaysia, seperti British Airways, Hong Kong Express dan Jiangxi Ai.

“RM25 juta bagi menambah baik kemudahan pelancongan termasuk memulihara tapak UNESCO seperti
Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak; Lembah Lenggong, Perak; dan FRIM Forest Park, Selangor yang baru diisytihar tahun ini,” tambah beliau.

Manakala RM20 juta pula kata beliau untuk mempergiat program pelancongan kesihatan oleh Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia.

DESTINASI TUMPUAN PELANCONG

Beliau berkata Pulau Langkawi kekal destinasi tumpuan pelancong di mana produk geopelancongan akan dibangunkan iaitu Kilim Geoforest Park, trail kembara Gua Selat Panchor dan geotrail pendakian di Langkawi
UNESCO Global Geopark.

Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, beliau berkata Kerajaan bercadang menyediakan insentif cukai bagi sektor pelancongan dan
kebudayaan.

“Pengusaha projek pelancongan yang melakukan ubah suai dan pembaharuan premis perniagaan
diberi potongan cukai atas perbelanjaan layak yang dilakukan terhad sehingga RM500,000,” kata
Anwar.

“Syarikat pengendali pelancongan diberi pengecualian cukai pendapatan bersamaan 100
peratus ke atas nilai peningkatan pendapatan daripada pakej pelancongan ke Malaysia,” kata beliau.

PENGECUALIAN CUKAI PENDAPATAN

Syarikat, persatuan atau organisasi yang menganjurkan Persidangan, Pameran Perdagangan atau Insentif bertaraf antarabangsa akan diberi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus ke atas pendapatan berkanun.

“Syarikat penganjur aktiviti kesenian, kebudayaan, pelancongan serta pertandingan sukan dan rekreasi
bertaraf antarabangsa yang melibatkan peserta asing diberi pengecualian cukai pendapatan
sebanyak 50 peratus ke atas pendapatan berkanun,” kata beliau.

Bagi menggalakkan rakyat melancong dalam negara sempena
Tahun Melawat Malaysia 2026, pelepasan khas cukai pendapatan
individu sehingga RM1,000 diberikan atas perbelanjaan bayaran
fi kemasukan ke pusat pelancongan tempatan dan program kebudayaan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *