
Oleh: Sholina Osman
11 OKT. 2025
Malaysia perlu tampil sebagai jaguh ekonomi rentas sempadan
dengan memanfaat kedudukan strategik kita di rantau ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata melalui pembangunan bersama di wilayah sempadan dan rangkaian
infrastruktur serantau, kita bukan sahaja membuka pasaran baharu,
malah menghubungkan Malaysia dengan pusat pertumbuhan
ekonomi jiran.
“Malaysia turut menumpukan pembangunan ASEAN Power
Grid bagi menghubungkan grid elektrik rentas sempadan ke negara
jiran dan memperkukuh perdagangan tenaga serantau,” kata beliau semasa membentangkan Belajawan 2026 di Parlimen.
DENGAN RAKAN ASEAN
Anwar berkata Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan PETRONAS bekerjasama dengan rakan ASEAN bagi mempercepat Projek Vietnam–Malaysia–Singapura yang menyalurkan tenaga boleh baharu dari Selatan Vietnam ke Malaysia dan Singapura.
Malah kata beliau usaha Kerajaan Persekutuan membangunkan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) telah membina keyakinan pelabur terhadap Johor sebagai pintu gerbang strategik Malaysia.
“Bagi separuh pertama 2025, JS-SEZ merekodkan pelaburan diluluskan RM37.1 bilion iaitu 66 peratus daripada keseluruhan pelaburan
Johor,” kata Anwar.
Malah, kata beliau JS-SEZ juga meraih RM29 bilion lagi komitmen pelaburan baharu.
MEMPERKASA EKOSISTEM PELABURAN
“Pelbagai usaha dilipatgandakan bagi memperkasa ekosistem pelaburan di JS-SEZ iaitu “Iskandar Malaysia Facilitation Centre Johor” mempercepat urusan pelaburan dengan sokongan “Johor Super Lane”
yang mengurangkan tempoh kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” tambah beliau.
“Johor Talent Developement Council” menghubungkan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan industri bagi menambah program pembangunan bakat, peningkatan kemahiran dan penempatan kerjaya bergaji premium.
“Kerajaan menyokong pembangunan aktiviti ekonomi di sempadan
utara seperti Delapan di Zon Ekonomi Sempadan Khas Bukit Kayu
Hitam yang muncul sebagai hab pertumbuhan moden yang
menghubungkan rantaian bekalan dan ekosistem digital ASEAN
dengan pelaburan RM2.7 bilion,” kata Perdana Menteri.
EKONOMI DI SEMPADAN
“Kerajaan menyokong kegiatan ekonomi di sempadan negara
dengan menambah baik prasarana asas, antaranya membina jalan baharu Kalabakan, Sabah ke Simanggaris, Indonesia sepanjang 28 kilometer,” tambah beliau.
Kata beliau selain itu kerajaan menaik taraf landasan kereta api Pasir Mas-Rantau Panjang; menaik taraf jalan sedia ada kepada jalan berkembar empat lorong di Rantau Panjang, Kelantan.
“Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link beroperasi sepenuhnya seawal 1 Januaridi mana ia mampu membawa 10 ribu penumpang setiap jam
setiap hala pada waktu puncak,” tambah beliau. – JM
