MAIPs perlu terus jadi model, berintegriti, diyakini rakyat – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
15 OKT. 2025

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) perlu terus menjadi model institusi agama yang telus, berintegriti dan diyakini rakyat.

Baginda selaku Yang Dipertua MAIPs bertitah demikian ketika berkenan menerima mengadap hormat Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi di Ibu Negara baru-baru ini.

Baginda bertitah bahawa komitmen terhadap prinsip tadbir urus yang baik bukan sahaja penting untuk memastikan keberkesanan pengurusan zakat dan aset MAIPs, malah menjadi asas kepada kepercayaan masyarakat terhadap institusi agama di Negeri Perlis.

SISTEM KAWALAN DALAMAN

Baginda turut menegaskan keperluan memperkukuh pelaksanaan sistem kawalan dalaman, pelaporan kewangan yang telus, serta pematuhan terhadap piawaian audit negara sebagai teras kepada pengurusan yang berintegriti.

Raja Muda turut menyentuh tentang keperluan membudayakan akauntabiliti dan profesionalisme dalam semua peringkat pelaksanaan program dan pengurusan sumber.

Dalam masa yang sama, MAIPs bakal melancarkan Pelan Strategik 2026–2030 sebagai hala tuju strategik baharu bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan, memperluas impak sosial, dan mempertingkat kepercayaan awam terhadap institusi agama.

PANDANGAN SERTA CADANGAN

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor, dalam kenyataannya menzahirkan penghargaan atas komitmen Jabatan Audit Negara dalam memberikan pandangan serta cadangan penambahbaikan yang konstruktif.

“Bimbingan dan teguran profesional daripada Jabatan Audit Negara amat kami hargai. Ia bukan sekadar memastikan kepatuhan, tetapi menjadi pemangkin kepada budaya tadbir urus berintegriti dan inovasi pengurusan zakat yang lebih mampan,” ujar beliau.

Beliau turut menegaskan komitmen seluruh warga MAIPs untuk terus memperkukuh kecekapan dan ketelusan dalam pengurusan demi manfaat ummah, selaras dengan titah Yang Dipertua MAIPs.

Terdahulu satu Mesyuarat Penutup bersama Ketua Audit Negara telah diadakan di Putrajaya.

Mesyuarat ini memberi tumpuan kepada pelaporan audit, pengukuhan kawalan dalaman dan cadangan penambahbaikan berterusan bagi memastikan MAIPs kekal berdaya urus tinggi serta menepati piawaian audit negara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *